AGENDAJENAYAH

Tubuh pasukan petugas siasat sindiket jual MyKad

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Satu pasukan petugas ditubuhkan bagi menyiasat sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata, pasukan petugas berkenaan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.

“Pembentukan pasukan petugas ini telah mendapat persetujuan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim.

“PDRM, JPN dan Imigresen akan bekerjasama dalam pasukan petugas ini bagi membanteras sindiket sedemikian,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beberapa lagi kakitangan JPN Pulau Pinang akan ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

Selain itu, beberapa pegawai dipercayai terbabit dalam sindiket itu telah dikenal pasti dan mereka akan ditahan dalam tangkapan fasa kedua.

Pada 11 September lalu, polis menahan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Pada hari berikutnya enam lelaki termasuk seorang Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang berumur antara 34 dan 66 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

-BERNAMA


Pengarang :