Selangorkini
EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail melihat produk kraftangan penduduk setempat di Mini Expo Usahawan (Mexus) daerah Sabak Bernam, pada 7 September 2019.
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tumpuan khusus tingkat ekonomi Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 8 SEPT: Daerah Sabak Bernam diberi tumpuan khusus bagi membangunkan ekonomi penduduk setempat menerusi pelbagai usaha membabitkan sektor pelancongan, pertanian dan keusahawanan produk.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, inisiatif itu bagi memastikan penduduk setempat dapat menjana pendapatan lebih tinggi.

Katanya, jawatankuasa pembangunan ekonomi daerah itu sudah ditubuhkan yang dianggotai oleh beliau, Exco Pelaburan, Exco Pelancongan dan Exco Pertanian.

“Kita mahu Sabak Bernam menjadi seperti daerah lain yang pesat membangun dari setiap aspek, justeru daerah ini perlu diberikan suntikan komprehensif dari pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Mini Expo Usahawan (Mexus) kali ke tiga daerah Sabak Bernam, di sini, semalam.

Rodziah berkata, sebanyak 79 kampung di daerah itu yang terkenal dengan keunikan tersendiri seperti makanan popular mentarang, kerepek dan mee udang.

Selain itu, katanya, Pusat Konservasi Enggang Sungai Panjang, Pusat Konservasi Kelip-Kelip Sungai Pakeh dan Pantai Bagan Nakhoda Omar perlu diperkenalkan lagi kepada pelancong luar.

“Bukan itu sahaja, komposisi Melayu berketurunan Jawa, Banjar, Kampar dan Bugis selain terdapat adat Melayu Jawa seperti Kuda Kepang, Barongan, Gamelan dan Jawa Kompang perlu diperkenalkan ke peringkat luar.

“Oleh itu, saya berharap semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, politik dan penduduk setempat dapat bekerjasama membantu pembangunan daerah ini,” katanya.

Pada masa sama, Rodziah berkata, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar di Selangor akan terus bergerak seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

“Jumlah Penduduk Desa di Selangor mengikut statistik melebihi 2.2 juta penduduk.

“Kepesatan ini perlu dilihat dengan baik melalui pelbagai program yang dibangunkan bagi memantapkan lagi ekonomi penduduk desa dan tidak meminggirkan mereka,” katanya.


Pengarang :