AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tunku Azizah: Nyahaktif Twitter atas sebab perbadi

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah mengaktif semula akaun rasmi twitter @cheminah sayang dengan ciapan rasa kecewa dengan dua orang yang ditahan polis kerana menurunkan komen negatif dalam twitter baginda.

Baginda bertitah, keputusan menyahaktif akaun twitter bukan disebabkan komen dibuat warganet, sebaliknya atas sebab-sebab peribadi.

Dalam ciapannya pagi ini, Tunku Azizah bertitah “hari ini saya sedih dan marah pihak polis menangkap orang-orang itu.

“Selama ini saya dan Tuanku tidak pernah membuat sebarang laporan polis terhadap perkara buruk yang dikatakan terhadap kami.. ini adalah negara bebas…,” titah baginda dalam ciapan yang sama.

Baginda turut berkongsi perasaan ketika dikejutkan anakandanya, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, awal pagi hari ini.

“Afzan (Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah) kejut saya tadi “mama polis tangkap 2 orang!”, saya sedih dan marah dan terus activate semula twitter, tidak ada niat saya supaya mereka itu ditangkap polis, saya sendiri beritahu pihak istana untuk beritahu pihak polis jangan ambil tindakan, I repeat again, I dectivated not because of THEM,” titah baginda lagi dalam tweet pagi ini berhubung tangkapan yang dibuat polis semalam.

“Jadi saya harap semua faham, deactivate itu atas kehendak saya sendiri dan bukan kerana apa org tulis atau comment…” dalam ciapan terakhir sebelum menyahaktifkan semula akaun @cheminahsayang.

Tunku Azizah mengejutkan warganet selepas menutup akaun twitter bermula Rabu lalu.

Kebanyakan pengguna laman sosial itu beranggapan, tindakan baginda berpunca daripada ciapan beberapa pengguna twitter yang menurunkan komen negatif termasuk berunsur menghina institusi diraja sebelum ini.

Susulan itu, laporan polis dibuat beberapa individu sejak semalam, selain seorang pengguna dilaporkan sudah pun memuat naik permohonan maaf di laman sosial sama.

Semalam, Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath ditahan polis berhubung dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 29 tahun itu akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil pagi ini dan tiada permohonan reman dibuat.

– BERNAMA


Pengarang :