AGENDASUKANKINI

UCL bermula: Liverpool sedia pertahan kejuaraan

SHAH ALAM, 17 SEPT: Kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2019/20 akan membuka tirai awal pagi esok dengan lapan perlawanan berlangsung membabitkan Kumpulan E, F, G dan H.

Juara enam kali, Liverpool yang berada dalam Kumpulan E akan bertandang ke Itali menentang Napoli dengan misi mempertahankan kejuaraan selain menebus kekecewaan tewas 1-0 pada musim lalu.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp pastinya mahu melebarkan rekod kemenangan apabila mengutip 15 mata penuh selepas lima perlawanan liga manakala Napoli sekadar mencatatkan dua kemenangan daripada tiga perlawanan domestik.

Dalam satu lagi aksi, kelab Austria, FC RB Salzburg akan menerima kunjungan KRC Genk dari Belgium. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung jam 3 pagi esok waktu Malaysia.

Semi finalis musim lalu, FC Barcelona pula bertandang ke Jerman untuk menentang Borussia Dortmund dalam aksi Kumpulan F manakala Inter Milan bakal melayan kunjungan Slavia Prague di Stadium Giuseppe Meazza.

Perlawanan Inter Milan dan Slavia Prague akan berlangsung pada jam 12.55 pagi manakala Dortmund dan Barcelona bermain dua jam kemudian.

Kumpulan G pula menyaksikan wakil kelab Perancis, Olympique Lyon akan menentang kelab Rusia, Zenit St Petersburg pada jam 12.55 pagi manakala pada jam 3 pagi Benfica akan menentang RasenBallsport (RB) Leipzig.

Satu lagi wakil England, Chelsea akan menjadi tuan rumah kepada Valencia di Stamford Bridge sementara kelab Belanda, Ajax Amsterdam akan menanti kunjungan satu lagi wakil Perancis, Lille.

Kedua-dua aksi Kumpulan H itu akan berlangsung pada jam 3 pagi.


Pengarang :