Dries Martens meledak jaringan pertama Napoli menerusi sepakan penalti pada minit ke-80. Foto UEFA Champions League
AGENDASUKANKINI

UCL: Permulaan tempang Liverpool dan Chelsea

SHAH ALAM, 18 SEPT: Dua kelab England, Liverpool dan Chelsea memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan langkah sumbang apabila masing-masing tewas, awal pagi tadi.

Turun dengan status juara bertahan, Liverpool gagal menebus kekalahan musim lalu apabila tewas 2-0 kepada Napoli di San Paolo dalam aksi Kumpulan E.

Bagaimanapun, dua jaringan tuan rumah pada 10 minit akhir permainan hadir hasil penalti Dries Martens dan Fernando Llorente.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan E, hatrik daripada Erling Braut Haaland membantu RB Salzburg membelasah Genk 6-2 di laman sendiri.

Aksi Kumpulan F menyaksikan dua perlawanan berakhir dengan keputusan seri apabila Inter Milan terikat 1-1 ketika menentang Slavia Prague manakala tiada jaringan dihasilkan dalam pertemuan Borussia Dortmund dan Barcelona.

RB Leipzig pula menghuni tangga teratas Kumpulan G apabila menewaskan Benfica 1-2 di gelanggang lawan manakala perlawanan Lyon dan Zenit St Petersburg berkesudahan seri 1-1.

Juara Piala Europa, Chelsea pula kecewa di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada Valencia hasil jaringan tunggal Rodrigo, pada minit ke-74.

Skuad bimbingan Frank Lampard sepatutnya berpeluang mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-88 tetapi gagal disempurnakan Ross Barkley.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulah H, Ajax Amsterdam tidak berdepan masalah mengutip mata penuh apabila menewaskan Lille 3-0.


Pengarang :