AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ujian mendengar PT3 boleh ditangguh sehingga 31 Oktober

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Kementerian Pendidikan memaklumkan sekolah yang terjejas akibat jerebu boleh menangguhkan Ujian Mendengar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Al-Lughah Al-Arabiah Al-Muasirah sehingga 31 Oktober.

Menurut kenyataan kementerian itu, sekolah di daerah atau kawasan yang mengalami tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 boleh menangguhkan ujian itu.

Namun ujian itu tetap diteruskan di daerah atau kawasan yang tidak terjejas jerebu mengikut tarikh ditetapkan iaitu selama tiga hari bermula esok dengan pemantauan ketat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.

“Berdasarkan pemantauan berterusan di seluruh negeri menerusi bacaan IPU sehingga 5.00 petang Ahad, kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak menunjukkan tahap bacaan IPU tidak sihat dan sangat tidak sihat.

“Kementerian amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh pihak sekolah, murid dan ibu bapa akibat masalah jerebu yang dihadapi,” menurut kenyataan itu semalam.

JPN, PPD dan pihak pengurusan sekolah di seluruh negara telah dimaklumkan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil ketika menjalankan ujian itu termasuk pemantauan maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA


Pengarang :