Foto ihsan UKM
AGENDANASIONAL

UKM terima akreditasi berprestij dunia

SHAH ALAM, 5 SEPT: Pusat Pengajian Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) berjaya menerima akreditasi bertaraf antarabangsa daripada Association to Advance Collegiate School of Business (AACSB) International.

Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Akreditasi AACSB International, Stephanie M Bryant berkata, pengiktirafan itu diberikan atas kelayakan institusi terbabit yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Katanya, ia merangkumi bidang penyelidikan, pengajaran dan pembangunan kurikulum serta pembelajaran pelajar.

“Kami mengucapkan tahniah kepada UKM dan Dekan UKM-GSB, Prof Madya Dr Puan Yatim kerana berjaya menerima akreditasi dan turut memberikan penghargaan kepada seluruh pasukan UKM termasuk pentadbir, ahli fakulti, kakitangan serta pelajar yang banyak memainkan peranan dalam memperolehi pengiktirafan terpuji ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Puan yang mengetuai barisan kakitangan akademik dan bukan akademik UKM-GSB menerima baik pengiktirafan terbabit dan menyifatkannya sangat bermakna kepada fakulti terbabit.

“Ia antara cabaran kepada kita untuk meneruskan kecemerlangan dalam penyelidikan dan penambahbaikan berterusan melalui program pendidikan perniagaan di sini.

“Malah, dengan pengiktiran ini juga kita dapat membuktikan kepada majikan dan rakan strategik bahawa graduan UKM bersedia di peringkat tertinggi bagi memainkan peranan sebagai pemimpin masa depan untuk pasaran setempat dan masyarakat global,” katanya.


Pengarang :