Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sempena Program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Umat Islam perlu amal sikap toleransi

SHAH ALAM, 1 SEPT: Umat Islam di Selangor khususnya perlu mengamalkan sikap bertoleransi dan mahabbah dalam kehidupan bermasyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, ia berikutan Selangor mempunyai rakyat yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

Katanya, jika sifat murni itu diterapkan dalam kehidupan, keharmonian yang sedia kukuh di negeri itu akan terus terpelihara.

“Keharmonian kita miliki ini hendaklah sentiasa dipelihara dalam mewujudkan sebuah negeri Rahmah.

“Selangor yang kita kasih amat maju dan berkembang pesat ekonominya, rakyatnya perlu bersatu hati dalam menjaga kesepaduan ummah untuk memastikan seluruh rakyat hidup dengan suasana yang aman serta tenteram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi.

Sembah ucapan Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya ketika Program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mewakili ayahandanya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada masa sama, Mohd Amin berkata, umat Islam harus terus teguh memelihara kesucian agama Islam dan mendaulatkan kedudukan Raja-raja Melayu sebagai payung agama di negara ini.

Katanya, umat Islam juga perlu menunjukkan contoh teladan dan akhlak mulia sebagaimana akhlak Rasulullah SAW.

“Sama-sama kita raikan kepelbagaian yang ada di Selangor tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang supaya negeri ini terus aman sejahtera,” katanya.


Pengarang :