BUDAYARENCANA

Untuk serasi, kau tak perlukan wajah yang molek

Oleh Anas Mohd

 Adik kiranya langkah bendul jika perkahwinan itu dilangsungkan. Cuma yang buat ibu risau bilamana adik dijangkiti kudis tanah, dan setakat ini tiada satu pun ubat yang dapat menyembuhkannya. Berbanding saya yang bermulut manis, sesakit adik pun masih ada orang yang mahu memperisterikannya.

Kepercayaan pagan anutan keluarga menemukan kami dengan seorang dukun kerepot. Dikhabarkan bahawa jangka hayat adik tinggal sebulan tiga belas hari sebelum bintik kudis menyelimuti penuh tubuhnya lalu meletupkan kepalanya hingga bersepai. Kata si dukun lagi, hanya ada tiga atau empat kaedah sahaja untuk menyembuhkan penyakit tersebut. Mendengarkan itu, ibu menepuk meja seolah-olah dia majikan yang perengus. Ibu mendesak si dukun agar terus mencadangkan penyelesaian terpantas. Perkahwinan adik tidak boleh bertangguh. Kad jemputan sudah pun terbang sejauh Sungai Golok.

Tentulah pilihan pantas selalunya berbahaya dengan kadar kejayaan yang tipis. Aneh sekali, caranya pula terdengar senang, yakni masuk ke hutan belakang rumah dan meminta penawar dari wanita berwajah polos. Terlalu mudah, seperti mengopek kacang tanah, kata ibu.

Sabar, ujar si dukun, bukan aku yang akan pergi bertemu si polos. Ia hanya mujarab jika ahli keluarga pesakit sendiri yang pergi mendapatkannya. Ketika itu semua pandangan ahli keluarga terarah kepada saya. Ibu membisikkan sesuatu ke telinga si dukun. Saya amat yakin ibu sedang melobi supaya saya yang diarahkan pergi. Sebenarnya tanpa usaha melobi sekalipun saya tetap tahu bahawa sayalah orang paling sesuai untuk berhadapan dengan si polos.

Tentang wanita berwajah polos, ia semacam legenda urban bagi orang luar. Namun di daerah ini, semua orang tahu dia benar-benar wujud. Wanita itu menggemari orang bujang dan membenci bau perkahwinan, dan ia jadi sebab kenapa saya yang dipertanggungjawabkan.

Bagi keluarga, memelihara seorang bujang terlajak adalah satu penghinaan. Entah kenapa saya satu-satunya yang masih membujang sampai sekarang. Desas-desus mengatakan saya kuat cemburulah, hati tisulah, sebab itulah jodoh susah nak melekat; semuanya sekadar omongan. Padahal isunya remeh: saya belum bertemu calon serasi yang punya saiz baju dan kasut yang sepadan, atau paling teruk, seseorang dengan kelemahan ketara yang boleh saya eksploit.

Diceritakan bahawa wanita itu dirodok rakus dengan sebatang cangkul karat, wajahnya tertanggal namun jantungnya kekal berdegup, dia tidak bernafas bahkan hidup lebih segar dari biasa. Sedari itu dia mula dikenali sebagai wanita bermuka polos – wajah mendatar tanpa mata, hidung, mulut juga bulu roma.

Wanita itu melarikan diri ke tengah hutan kerana merasakan dirinya bukan lagi manusia. Si polos, sebutan baik-baik demi menjaga hatinya, tapi lain pula cerita dengan pembasmi khurafat serta pemburu paranormal, mereka lebih terbiasa memanggilnya si buruk rupa. Buruk subjektif, ia taklah hodoh, ia cuma punya sebentuk muka tak berwajah yang tidak dihargai oleh sesiapa.

Selain halnya dengan muka yang sebegitu, tersebar juga dari mulut ke mulut bahawa wanita itu pemakan orang. Perihal isu kanibal, ia tidak menggusarkan saya. Ada perkara lain yang lebih saya khuatiri. Kerana mukanya terlalu polos, maka kulitnya tegang dan licin – dan itulah masalah saya, mudah geli-geleman sepertimana gelinya saya menyentuh kulit ular.

Saya masuk ke hutan dengan igauan sedemikian, malah hampir saja terkincit di dalam seluar. Namun ia ketara berlawanan saat saya terserempak dengan si polos sedang mencangkung sambil meratah bangkai tupai. Kepalanya segera mendongak sewaktu menyedari saya berdiri di hadapannya. Wajah polosnya seolah-olah merenungi saya dengan mata terjojol yang binar. Pada mendatar wajahnya, ada comot darah tupai di bahagian yang sepatutnya bermulut. Saya mengangkat kedua-dua tangan dan terus menyatakan hasrat sebenar. Si polos sekadar menjawab (dengan gema suara dari kepalanya): sudah lama aku tidak berteman.

Petang itu saya terpaksa duduk-duduk bersamanya. Dia memulakan perbualan dengan bertanya: mulus tak pipiku? Tekak saya meloya, lebih-lebih lagi apabila dia mahu saya menyentuh pipinya. Saya tak mampu melakukannya lalu cuma mengacah-acah dengan hujung jari sambil menutup mata. Si polos mungkin saja perasan tentang kelakuan yang terang-terangan menggambarkan perasaan saya. Tapi bilamana dia paculkan soalan, kenapa cermat sangat? Soalan itu bikin saya menggigit bibir, itupun lembut-lembut sebab tak mahu bibir sendiri sobek dek luka.

Begini, kata saya kemudian memberanikan diri dalam gigil untuk menyentuh pehanya, takut pipi hang bercalar, dan dia mulalah gelak kecil seperti dibuat-buat, dan tekup tangannya di wajah seolah-olah sedang tersipu malu lalu membalas: pandai kau bercakap, kan.

Ini satu lagi masalah saya. Bermulut manis di bawah sedar. Tabiat ini adakala merugikan, contohnya situasi sekarang. Saya mulai seriau; leher berpeluh dan belakang tubuh serasa berlengas. Aku ini sensitif kau tahu, katanya lembut. Entah kenapa, perkataan ‘sensitif’ tak semena-mena membuatkan saya jadi begitu selesa. Mungkin juga si polos ini sebenarnya tidaklah menakutkan sangat. Dan tabiat bermulut manis, adakala menguntungkan.

Penyakit adikmu tidak perlukan penawar, kata si polos selepas jeda. Dia pasti sembuh. Dukun bedebah itu hanya membuat untung atas kenaifan kalian.

Penjelasan si polos seperti memberikan saya idea untuk berlama-lama dengannya. Lagipun memang inilah tujuannya ibu menghantar saya masuk ke hutan. Mudah-mudahan ibu dan adik-beradik juga terlupa bahawa saya satu-satunya wali yang sah. Itupun jika pernikahan adik akan dilangsungkan mengikut kepercayaan mereka yang lagi satu.


Pengarang :