AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Urusan pentadbiran Sipadan dan Ligitan diserah kepada Sabah

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bersetuju untuk menyerahkan sepenuhnya urusan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Sabah kecuali perkara berkaitan keselamatan yang masih terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penyerahan itu adalah satu hasil perundingan Jawatankuasa Khas Kabinet Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) dan ia memperlihatkan kesungguhan kerajaan PAKATAN memenuhi perjanjian itu.

“Harus kita ingat, kedua-dua buah pulau ini juga dituntut oleh negara lain. Tetapi apabila Kerajaan Persekutuan membawanya ke mahkamah dunia, maka mahkamah putuskan kedua-duanya milik Malaysia… dengan itu kita dapat memberi Sabah kuasa ke atas kedua-dua pulau berkenaan.

“Dengan itu kita dapat memberi Sabah kuasa ke atas kedua-dua pulau itu,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di Kuching, malam tadi.

Perdana Menteri berharap rakyat dan pemimpin dari Sabah dan Sarawak dapat melihat kesungguhan dan keikhlasan kerajaan Persekutuan untuk meletakkan kedua-dua negeri ini sebagai rakan kongsi kepada Semenanjung Tanah Melayu seperti yang termeterai ketika Malaysia dibentuk bersama.

Pada 19 Ogos lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan setakat 23 Julai lalu, tujuh isu Perjanjian Malaysia 1963 mendapat persetujuan bersama, manakala 14 isu masih memerlukan perbincangan lanjut dan dijangka akan diputuskan sebelum 31 Ogos.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan pada 23 Julai dan dihadiri 23 ahli Jawatankuasa terdiri daripada Menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Antara tujuh isu yang mendapat persetujuan adalah pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan, yang menyebut: “Secara prinsipnya penyerahan kuasa urus tadbir Pulau Sipadan dan Ligitan khususnya berkaitan pelancongan kepada Kerajaan Negeri Sabah dipersetujui. Isu teknikal dan keselamatan sedang diperhalusi.”

-BERNAMA


Pengarang :