Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
AGENDANASIONAL

Utama kempen beli barangan buatan Malaysia

PETALING JAYA, 12 SEPT: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun hari ini menegaskan kempen beli barangan buatan Malaysia perlu diutamakan berbanding usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini.

Beliau berkata, dengan menyokong barangan buatan Malaysia ia sekali gus dapat meningkatkan pendapatan negara.

“Kita (kerajaan) sebenarnya mengambil ketetapan bahawa apa yang kita utamakan adalah barangan buatan Malaysia. Sebab itu, saya percaya dengan menyokong produk buatan Malaysia kita dapat tingkatkan ekonomi negara.

“Selain itu, negara mempunyai masyarakat berbilang kaum, dan kemerdekaan ke-62 yang telah dicapai pada tahun ini adalah kerana perpaduan yang telah kita jaga selama ini. Kempen yang sebenarnya (sepatutnya) adalah kempen beli barangan buatan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Pra-Pelancaran Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada kempen boikot itu akan menjejaskan pengusaha barangan bukan Muslim.

Pada 4 September lepas, Jemaah Menteri dalam satu kenyataan bersetuju bahawa usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini adalah sangat tidak wajar.

Ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat mingguan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jemaah Menteri dalam kenyataan itu menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan memboikot produk bukan Islam adalah tindakan mereka yang cetek fikiran dan gerakan seperti itu tidak akan mendatangkan kesan yang besar, malahan hanya akan mengundang api kemarahan.

– BERNAMA


Pengarang :