Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Video seks: Lokman Adam dipanggil beri keterangan esok

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Polis akan memanggil semula Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, esok bagi memberi keterangan berhubung klip video seks sejenis yang didakwa membabitkan seorang menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan berhubung kes terbabit sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa arahan lanjut sudah diterima.

“Polis juga menerima satu laporan analisa video oleh Verden Forensics United Kingdom daripada Lokman dan telah dihantar ke Cybersecurity Malaysia untuk diteliti.

“Lokman akan dipanggil semula untuk rakam percakapan lanjut pada 3 September 2019 (esok),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Jun lalu, Lokman dipanggil ke Bukit Aman berhubung kes video lucah membabitkan seorang lelaki yang didakwa mirip seorang menteri, selepas dia membuat laporan polis ke atas orang yang menyebarkan video dan melakukan aksi terbabit.

-BERNAMA


Pengarang :