EXCO SELANGOR

Warga emas terharu terima ‘hadiah hari lahir’

KLANG, 30 SEPT: Pemberian baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang sempena bulan kelahiran golongan itu disifatkan sebagai hadiah bermakna kepada mereka.

Penerima, Woon Mooy, 81, dari Jalan Tepi Sungai berkata, pemberian itu sebagai tanda ingatan daripada Kerajaan Negeri kepada warga emas sepertinya.

“Saya sangat gembira. Inisiatif ini sangat baik daripada kerajaan. Saya mahu ia diteruskan, jika panjang umur, tahun depan saya terima lagi,” katanya.

Bagi Ismail Ali, 64, berkata, baucar itu membolehkan beliau bersama isteri membeli barangan keperluan harian, sekali gus meringankan beban golongan sepertinya yang sudah tidak mampu bekerja.

“Sekurang-kurangnya baucar ini digunakan untuk membeli makanan untuk saya dan isteri.

“Bantuan ini sangat perlu kepada kami dan saya sangat gembira menerimanya,” katanya yang berasal dari Kampung Delek.

Selain itu, Pritam Kor Kheer Singh, 69, menyifatkan pemberian itu sebagai hadiah hari jadinya ke-69 bulan ini.

Katanya, tahun ini kali pertama beliau menerima hadiah itu selain Jom Shopping Deepavali.

“Terima Kasih Kerajaan Selangor. Saya sangat gembira dengan hadiah hari lahir ini. Semua warga emas yang terima sudah tentu sangat seronok apabila diraikan, lebih-lebih lagi pada hari kelahiran mereka,” katanya.

Seramai 128 warga emas menerima baucar pada peringkat pertama bagi DUN Selat Klang yang disampaikan EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari di Pasaraya Econmart, di sini.


Pengarang :