AGENSISELANGOR

Warga LZS laksana amanah penuh integriti

SHAH ALAM, 6 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) komited dalam mengamalkan sikap integriti terutama ketika melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam kalangan warga kerjanya.

LZS dalam satu kenyataan memaklumkan, ia bagi memastikan wang zakat yang diamanahkan dapat diurus dengan baik.

“Oleh itu, LZS amat memandang serius sebarang salah laku membabitkan integriti dalam kalangan warga kerja dan tanpa kompromi akan mengambil tindakan tatatertib dan undang-undang.

“Perkara ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawab kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, kenyataan turut berkata, merujuk kepada kes di media massa berkaitan salah laku bekas warga kerja LZS, ia adalah kes terpencil dan kes terbabit kini dalam tindakan mahkamah.

“Sehingga kini, pelbagai kawalan dalaman dan luaran dilaksanakan bagi memastikan integriti dan kredibiliti LZS terpelihara melalui pelbagai siri pengauditan antaranya Firma Audit Antarabangsa, Audit Negara, Audit SIRIM, Audit Majlis Agama Islam Selangor dan Audit Dalaman LZS,” katanya.


Pengarang :