BERITA UTAMA

Waspada lontar pandangan agama lain, amal sifat wasatiyyah

SHAH ALAM, 1 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada dalam melontarkan sebarang pandangan berkaitan agama lain.

Baginda bertitah, umat Islam sebaliknya perlu mengamalkan sifat wasatiyyah dalam interaksi harian.

“Harus diingat, Islam adalah agama yang amat mementingkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.

“Apa yang penting, umat Islam di Malaysia harus mengenepikan semangat asabiyyah dan perasaan hasad dengki demi memastikan ukhwah serta muafakat terus teguh,” titah baginda dalam kenyataan rasmi Perutusan Sempena Maal Hijrah 1441H dikeluarkan dari Pejabat Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, umat Islam juga perlu menghayati sejarah penghijrahan dan perjuangan Nabi Muhammad SAW serta kisah penyatuan persaudaraan golongan Muhajirin juga Ansar.

“Golongan Muhajirin dan Ansar berjaya membentuk kekuatan hingga tertubuhnya negara Islam yang mengangkat Islam ke tahap lebih tinggi.

“Ia adalah contoh teladan terbaik yang wajar dijadikan iktibar dalam usaha mengukuhkan perpaduan dan kesatuan seluruh umat Islam di Malaysia supaya dapat hidup lebih harmoni di dalam masyarakat majmuk,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baharu 1441 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

“Beta berharap bermula 1 Muharram 1441H ini, umat Islam di Malaysia akan memasang azam tahun baharu yang lebih dinamik dan relevan dalam menegakkan syiar Islam serta mengukuhkan silaturrahim perpaduan,” titah baginda.


Pengarang :