BUDAYARENCANA

Wilayah Berpaku Guruh

Oleh Nadhirah Ghani

Dum! Dum! Dum!

Bunyi bagaikan guruh memaku wilayah mereka. Garuda itu. Garuda itu datang lagi. Sudah hari ke empat puluh wilayah mereka diserang. Wilayah mereka kini tidak berupa seperti petempatan. Ia bagaikan padang jarak padang tekukur. Bagai ditinggal orang. Tapi tidak. Masih ada yang selamat. Masih ada yang cuba bertahan untuk hidup dari hari pertama wilayah ini diserang.

Langit merah seperti warna darah. Siang tidak terlihat seperti siang. Malam bagai gelita yang kelihatan seperti merah gelap di angkasa. Tiada bintang. Tiada bulan.

Anak-anak yang selamat, menangis. Mereka menangis meminta tolong, berharap juga perut mereka dapat diisi dengan makanan. Kini simpanan makanan semakin kehabisan.

Yang punya ibu, dipeluk oleh ibunya. Berharap dengan pelukan kasih dapat mengenyangkan perut anak-anak mereka. Mereka tahu perkara itu tidak akan membantu, tetapi mereka tetap mencubanya.

Yang tidak punya ibu, hanya mampu merenung ke angkasa. Sudah habis air mata untuk ditangiskan dari hari pertama. Kini, mereka bagaikan patung. Patung yang cuba bertahan untuk bernyawa. Mereka lebih banyak bermenung dan entah mendoakan apa-apa di dalam hati. Berharap ada pertolongan yang diberikan oleh Tuhan sama ada dari bawah bumi mahupun dari atas langit. Mereka masih percaya pada kewujudan Tuhan walaupun sudah tiada ibu.

Yang haus. Mereka yang haus pernah cuba menghirup air dari sungai yang berdekatan. Tetapi sungai itu sudah tidak suci lagi seperti dulu. Ia bagaikan racun. Mereka yang meminumnya hanya mampu bertahan untuk seminggu kemudiannya mati. Ia perlahan-lahan merosakkan hati, jantung, hempedu mereka. Merosakkan organ dalaman mereka hingga tidak berfungsi. Hinggalah mereka tidak mampu bernafas dan kemudiannya diam. Senyap. Tidak bernyawa.

Dum! Dum! Dum!

Garuda itu bersayap besi, bermata merah menyala seperti api. Pekikannya apabila menyerang seperti bunyi guruh yang memaku wilayah mereka, bertalu-talu, berkali-kali.

Tiada sesiapa pun yang peduli. Hatta jiran mereka dari wilayah lain juga. Masing-masing menyelimut dan menyelubungi diri dengan rasa aman yang dimiliki. Tidak peduli. Mereka benar-benar tidak peduli. Tiada siaran langsung mengenai wilayah mereka yang diserang. Televisyen-televisyen di wilayah jiran mereka dipenuhi dengan berita keamanan, dipenuhi dengan hiburan-hiburan. Mereka ketawa. Mereka ketawa dengan segala keamanan yang dimiliki dan hiburan yang disajikan oleh media mereka.

Ah, kalaulah mereka tinggal di wilayah ini, pasti mereka merasa apa itu neraka dunia! Benar wilayah ini bagai sudah menjadi neraka dunia. Merah. Segala-galanya merah. Langit merah. Darah yang merah. Tanah yang penuh dengan darah merah. Penuh dengan mayat-mayat yang bergelimpangan. Hutan yang terbakar dengan api yang marak merah menyala.

Dum! Dum! Dum!

Mereka di wilayah ini menjerit. Meminta tolong. Serangan garuda benar-benar menakutkan. Pada hari pertama serangan, ketika semua warga wilayah ini lena diulit oleh mimpi pada malam hari. Mereka terkejut dengan bunyi dentuman guruh.

Dum!

Pada mulanya bunyi guruh itu sekali.

Dum! Dum!

Dua kali.

Dum! Dum! Dum!

Tiga kali berturut-turut, bumi terasa seakan-akan bergegar dan mereka semua bangkit dari lena. Ingin tahu apa yang terjadi? Mereka melihat ke luar tingkap rumah mereka dan ketika itulah segala-galanya terjadi.

Rumah-rumah dan bangunan-bangunan yang ada di wilayah ini hancur musnah. Dibawa angin bagai dilanda puting beliung. Itu yang mereka sangka pada mulanya. Mereka merasakan Tuhan telah menurunkan petanda bahawa wilayah mereka ini akan menjadi tidak aman kerana tidak menurut perintah Tuhan.

Kerana mereka juga seperti jiran mereka di wilayah yang lain, bahagia, seronok dengan hiburan-hiburan yang disajikan oleh media mereka. Segala-gala yang Tuhan perintahkan, mereka tinggalkan. Mereka lagha. Mereka bagai tidak ingat dunia. Bagai lupa yang akan ada balasan untuk mereka dari Tuhan yang Satu.

Pada malam pertama serangan itulah, mereka semua menangis. Meminta ampun dari Tuhan. Tapi tidak. Serangan tetap berlaku. Dan mereka melihat ada seekor garuda yang besar dan gagah menghempaskan sayap besinya, memusnahkan rumah-rumah dan bangunan-bangunan di wilayah ini.

Separuh warga wilayah ini tiada. Hilang. Sama ada hilang di bawah runtuhan bangunan atau hilang dibawa angin oleh hempasan sayap dari garuda besi itu. Sesungguhnya mereka benar-benar takut. Kecelakaan apa yang menimpa mereka ini?

Dum! Dum! Dum!

Pada hari keempat puluh ini, tiba-tiba mereka melihat ada seorang kanak-kanak cuba berhadapan dengan garuda itu. Kanak-kanak lelaki. Berbaju putih berseluar putih. Bersih. Pakaiannya benar-benar bersih. Tidak tercalit apa-apa kotoran.

Mereka pelik. Dari manakah hadirnya kanak-kanak lelaki itu? Sungguh berani berhadapan dengan garuda besi itu. Siapakah ibunya? Siapakah bapanya? Mengapakah seorang diri?

Tiada sesiapa pun yang tahu. Ada yang cuba mengumpul keberanian, memanggil kanak-kanak itu dari jauh. Tidak mahu mendekati. Mereka menyorok di bawah bangunan yang masih kukuh berdiri sejak dari serangan yang pertama.

Dum!

Garuda itu berhenti melayangkan dirinya. Berdiri gagah di hadapan kanak-kanak lelaki itu. Saiznya besar. Empat puluh kali ganda besar daripada kanak-kanak lelaki itu.

Dum!

Garuda itu memekik seperti guruh. Dia mengibaskan kedua-dua sayap besinya. Berterbanganlah segala apa yang ada di belakangnya tetapi tidak di hadapannya. Kanak-kanak lelaki itu tidak berkutik dari tempat dia berdiri.

Kemudian kanak-kanak lelaki itu berjalan perlahan-lahan mendekati garuda yang gagah itu. Garuda itu memekik lagi seperti guruh. Bergegar bumi wilayah mereka kerana pekikan itu.

Kemudian segala-galanya putih. Segala-galanya sunyi. Sepi. Mereka yang ada di wilayah itu terdampar, terbaring di tempat mana mereka bersembunyi sebelum ini.

“Wilayah kita telah selamat. Kita selamat!” Terdengar suara seorang lelaki memekik memberitahu.

“Benarkah kita telah selamat? Benarkah?” Seorang anak bertanya kepada ibunya.

Ibunya menggeleng tidak tahu tetapi cuba tersenyum, memaniskan wajahnya. Jika benarlah wilayah mereka telah selamat, dia patut bersyukur kepada Tuhan kerana telah berakhirnya rasa neraka yang sementara itu.

“Di manakah garuda itu? Siapakah kanak-kanak lelaki tadi?”

Tiada sesiapa pun yang tahu. Tidak seorang pun. Kemudiannya setelah hari keempat puluh itu, warga wilayah itu beramai-ramai bersujud syukur, mengucapkan terima kasih kepada Tuhan kerana masih menyayangi dan mengampunkan mereka.


Pengarang :