YAM Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bergambar bersama poster Majlis Amal Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-9 Yayasan J’KEB Malaysia di TPC, Kuala Lumpur pada 18 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Yayasan J’Keb Malaysia bimbing remaja bermasalah

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah memuji inisiatif penubuhan Yayasan J’Keb Malaysia yang mampu membimbing remaja kurang bernasib baik membina masa depan lebih cerah.

Tengku Puteri yang juga penaung Yayasan J’Keb Malaysia berkata, yayasan itu sedikit sebanyak telah dapat membendung gejala sosial dalam kalangan remaja dengan cara membimbing mereka membina hidup lebih bermakna.

Katanya, beliau optimis yayasan itu dapat membantu mengurangkan masalah sosial dan kadar jenayah yang sentiasa membabitkan anak muda.

“Apabila wujudnya yayasan ini, sekurang-kurangnya remaja yang keluar dari rumah perlindungan masih mempunyai tempat untuk mereka mendapat bimbingan.

“Saya difahamkan yayasan ini turut memberi bimbingan, sokongan dan nasihat kepada remaja untuk menentukan hala tuju hidup mereka,” katanya.

Tengku Puteri berkata demikian pada sidang media Majlis Amal Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-9 Yayasan J’Keb Malaysia, di TPC Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Rumah Perlindungan Yayasan J’Keb Malaysia ditubuhkan dengan matlamat menyediakan penempatan sementara iaitu paling lama setahun kepada remaja terpinggir, kurang bernasib baik atau bagi yang tiada keluarga.

Mula ditubuhkan pada Oktober 2009 oleh pengasasnya, Allahyarham Che Rozi Azrul Che Aziz. Che Rozi sudah meninggal dunia pada 14 Februari lalu di Institut Jantung Negara kerana mengalami komplikasi paru-paru.

Idea penubuhan itu tercetus daripada Allahyarham yang juga alumni penghuni Institusi Kebajikan Kanak-kanak dan dibesarkan di Rumah Perlindungan Kanak-kanak kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sejak 1 April lalu, yayasan itu berjaya menempat dan menghantar lebih 20 remaja melanjutkan pelajaran ke beberapa kolej dan universiti tempatan seperti Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Institut Kemahiran Belia Negara.


Pengarang :