AGENSISELANGOR

YIDE edar 1,000 penutup mulut, air mineral

SHAH ALAM, 13 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bersama skuad sukarelawannya mengedarkan 1,000 keping penutup mulut dan air mineral di Masjid Kampung Johan Setia dan beberapa kawasan yang menunjukkan paras udara sangat tidak sihat di kawasan terbabit.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, pengedaran terbabit dilakukan di kawasan itu berikutan keadaan cuacanya semakin buruk apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sentiasa menunjukkan peningkatan.

Katanya, edaran itu juga sebagai langkah awal penjagaan kesihatan bagi menghadapi fenomena jerebu.

“Sebagai langkah menghadapi jerebu, YIDE turut berkongsi enam tindakan semasa di semua platform media sosial supaya dapat dikongsi kepada masyarakat khususnya bagi menghadapi musibah ini.

“Antara langkah yang wajar dipatuhi adalah kurangkan aktiviti luar, elak pembakaran terbuka, kerap membasuh tangan, tidak merokok, menggunakan mode kitaran udara dalaman ketika memandu dan perbanyakan minum air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, YIDE juga akan terus mengedarkan penutup mulut itu di kawasan yang teruk terjejas dari semasa ke semasa.

YIDE adalah organisasi kebajikan yang ditubuhkan Majlis Agama Islam Selangor selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan serta mula beroperasi pada 25 September 2012.


Pengarang :