AGENSISELANGOR

ZIKRA 2019: LZS bawa pembayar zakat santuni asnaf

SEPANG, 26 SEPT: Seramai 60 peserta terdiri daripada pengeluar zakat syarikat korporat, wakil majikan dan pengamal media menyertai Program Ziarah Korporat Dan Media Bersama Asnaf (ZIKRA) 2019, baru-baru ini.

Bertemakan ‘Jalinan Kasih’, program tahunan anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu membawa pengeluar zakat merasai pengalaman turun padang bagi melihat realiti kehidupan asnaf di daerah Sepang.

Jurucakap LZS berkata, program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan antara pengeluar zakat dengan asnaf selain menyemai sikap prihatin terhadap golongan memerlukan.

“Di samping mendedahkan aktiviti agihan secara langsung kepada peserta, ZIKRA memberi peluang kepada kita untuk mendapatkan maklum balas secara terus terhadap keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Sepanjang sehari program berlangsung, LZS memaklumkan, peserta dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rawang yang juga antara 213 sekolah terbabit dalam Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ).

Katanya, ia adalah kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memfokuskan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Peserta seterusnya dibawa ke Kampung Orang Asli Bukit Bangkong dan mereka berpeluang mendekati serta beramah mesra dengan penduduk.

“Di sini, terdapat seramai 105 keluarga Islam dalam kalangan Orang Asal yang disantuni dengan bantuan zakat dan kita menyampaikan bantuan agihan zakat kepada beberapa individu serta institusi berjumlah RM82,261.40.

“Syarikat korporat terbabit dalam program ZIKRA turut memberi sumbangan melalui Kasihku Zakat Selangor dalam pelbagai bentuk bantuan bukan sahaja untuk penduduk di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, malahan kepada pelajar PROSAZ di SMK Sungai Rawang,” katanya.

Pada destinasi terakhir di Masjid KLIA, LZS berkata, peserta bertemu dengan salah sebuah syarikat korporat di LZS iaitu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang konsisten menunaikan zakat perniagaan dan potongan zakat bulanan untuk kakitangannya.

“Peserta juga berpeluang menyaksikan demo daripada usahawan asnaf di bawah projek usahawan berkelompok yang diperkenalkan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) iaitu Mybidan, Mytabib Malaya dan Blue Fabric.

“Mereka ini terdiri daripada asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan perniagaan dari LZS dan dibimbing serta dipantau oleh TERAS bagi memastikan perniagaan berkelompok yang dilaksanakan berjaya. Menariknya ada di antara usahawan asnaf ini kini menjadi pengeluar zakat,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.


Pengarang :