AGENDANASIONAL

Zuraida: Lambakan rumah mewah dijual melalui MM2H

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menjelaskan, lambakan jualan rumah mewah yang tidak terjual di negara ini, akan dijual kepada warga asing di bawah program Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

“Kempen itu dilaksanakan melalui MM2H dan bukan melalui kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang saya nyatakan sebelum ini, sehingga menimbulkan kekeliruan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pada 11 September lalu, Zuraida dilapor mencadangkan HOC untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah di negara ini, yang bernilai kira-kira RM100 bilion dan ini membawa kritikan daripada orang ramai serta anggota partinya.

Beliau berkata, kempen bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual itu bagaimanapun, masih dalam perbincangan di peringkat kementerian dan belum dibawa kepada Kabinet.

Sementara itu, Zuraida berkata program MM2H terbuka kepada semua warganegara asing, manakala China dan Hong Kong dipetik sebagai contoh memandangkan harga purata hartanah di situ adalah tinggi.

“Program MM2H yang diperkenalkan pada 2002 meletakkan syarat-syarat ketat dan ia dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menurut Zuraida cadangan itu mengambil kira faktor lain, antaranya mengelakkan lambakan projek gajah putih yang tidak baik kepada pertumbuhan ekonomi negara, di samping masalah sosial yang mungkin wujud berikutan rumah-rumah itu dibiarkan tidak berpenghuni.

Tambahnya lagi, cadangan itu juga dapat merancakkan aktiviti ekonomi dalam negara, menarik aliran wang asing dan pelancongan ke dalam negara, manakala program MM2H pula dapat menambah nilai modal insan melalui perkongsian kemahiran dan pengalaman ekspatriat yang masuk secara sah dalam negara.

“Ini adalah usaha kementerian dalam menyelesaikan beban ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional, yang tidak melakukan kajian menyeluruh mengenai permintaan dan pengeluaran berkaitan perumahan.

“Perkara ini sudah tentu tidak mengalihkan fokus saya, untuk memberi tumpuan kepada program perumahan mampu milik buat golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :