Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin (tengah) bersama Exco Kerajaan Negeri Selangor Khairuddin Othman (kanan) turut membuat kutipan sampah di sekitar sebagai gimik perasmian Trash To Cash ketika Program Jelajah Kemasyarakatan Gen-S di Dataran Kampung Bukit Sungai Putih, Ampang pada 29 September 2019. – Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Zuraida puji aktiviti jana pendapatan rakyat Selangor

AMPANG, 29 SEPT: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memuji usaha Kerajaan Negeri yang menggalakkan aktiviti ‘trash to cash’ dalam kalangan penduduk setempat.

Beliau percaya dengan inisiatif berkenaan akan dapat menjadi budaya masyarakat sambil menjana sumber pendapatan.

“Kita percaya inisiatif ini menggalakkan penduduk setempat membersihkan sesuatu kawasan dan hasilnya dapat menjadi sumber pendapatan ekonomi.

“Saya percaya dalam tempoh lima tahun, Malaysia akan dapat imej baharu iaitu lebih bersih dan komuniti yang mempunyai kesedaran tinggi dalam kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Jelajah Kemasyarakatan Gen S, di Kampung Bukit Sungai Putih, di sini.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman dan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Pada masa sama, Zuraida berkata, aktiviti plogging dan ‘trash to cash’ yang membabitkan golongan Gen S itu akan diadakan di 24 zon Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Ini kawasan ke lima dan ia akan dilaksanakan di semua zon Ahli Majlis MPAJ.

“Usaha ini akan dapat meningkatkan kebersihan dan kualiti penduduk sekitar Ampang.

“Saya berharap pelaksanaan ini akan menjadi contoh kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain untuk sama-sama memastikan kawasan perumahan bersih,” katanya.

Selain itu, katanya, aktiviti kemasyarakatan membabitkan sukarelawan dalam kalangan golongan muda perlu diperluaskan.

“Inilah masa golongan muda memberi sumbangan kepada pembangunan negara, justeru saya amat menggalakkan semua rakyat Malaysia, khususnya golongan muda untuk membabitkan diri dalam program kesukarelawan,” katanya.


Pengarang :