AGENDANASIONAL

1.27 juta individu dijangka lalui saringan PeKa B40

PONTIAN, 26 OKT: Lebih 1.27 juta individu dijangka menjalani ujian saringan kesihatan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) di klinik swasta dan klinik kesihatan di seluruh negara pada tahun hadapan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengumuman penurunan had umur penerima skim berkenaan daripada 50 tahun ke atas kepada 40 tahun ke atas adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah melakukan saringan pemeriksaan kesihatan agar tindakan pengesanan dan rawatan dapat dilakukan.

“Mengikut data terkini, kita telah menyaring 130,000 individu yang berusia 50 tahun untuk jalani pemeriksaan darah tinggi, kencing manis, kolesterol, buah pinggang, dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampungku Peringkat Daerah Pontian Sihat di Mukim Penghulu Serkat di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan membuat perancangan terperinci mengenai pembinaan dan menaik taraf hospital termasuk Hospital Pontian serta klinik di seluruh negara, selepas menerima peruntukan RM30.6 bilion dalam Belanjawan 2020.

Beliau berkata melalui peruntukan itu, hanya sebuah hospital baharu akan dibina iaitu di Kampar, Perak.

“Hanya satu hospital baharu sahaja yang akan dibina manakala selebihnya penambahbaikan dan menaik taraf dan hendak tekankan saya lebih pentingkan menaik taraf klinik kita dan cukupkan fasiliti-fasiliti, kemudahan dan keupayaan klinik kita,” kata beliau.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika mengulas mengenai peruntukan diterima KKM dalam Belanjawan 2020.

-BERNAMA


Pengarang :