AGENSISELANGOR

1,046 aduan air berbau direkodkan

SHAH ALAM, 3 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merekodkan sejumlah 1,046 aduan air berbau sehingga 6 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, jumlah itu meningkat 94 kes berbanding jam 10 pagi tadi.

“Siasatan sudah dijalankan terhadap kesemua aduan yang diterima.

“Berdasarkan hasil ujian pensampelan kualiti air, bekalan air disahkan selamat digunakan serta mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan.

Abdul Raof berkata, pihaknya sehingga kini sudah melaksanakan pemeriksaan dan pencucian ke atas 14 kolam perkhidmatan dan sistem agihan di 28 kawasan.

“Pemeriksaan dan pencucian ke atas kolam-kolam perkhidmatan dan sistem-sistem agihan secara berterusan akan dijalankan sehingga tiada lagi aduan air berbau dikesan,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019-2800919/019-2816793 bagi mengajukan aduan bekalan air berbau.

Terdahulu, Air Selangor mengesahkan air berbau di 18 kawasan itu selamat digunakan pengguna.

Antara kawasan aduan meliputi Aman Putra, Bukit Puchong, Kota Warisan, Putra Impiana, Putra Perdana, Putrajaya Presint 11, Salak Tinggi, Taman Intan Baiduri dan Taman Mawar Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang.

Selain itu, di Petaling membabitkan kawasan Puchong Intan, Puchong Perdana, Puchong Prima, Puchong Utama, Saujana Puchong dan Seri Kembangan.

Aduan juga diterima di kawasan Bangi Seksyen 3,4,5,7,9 bagi Hulu Langat, Saujana Putra di Kuala Langat serta USJ 3, 6, 5, 16.


Pengarang :