Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENSISELANGOR

12 pencuri kereta di tepi jalan diberkas

PETALING JAYA, 19 OKT: Kegiatan sekumpulan lelaki yang aktif mencuri kenderaan jenama tempatan sekitar Lembah Klang sejak Ogos lepas, tumpas apabila polis menahan 12 individu di sebuah bengkel, pada Rabu lepas.

Mereka yang berusia 24 hingga 50 tahun, termasuk tiga lelaki warga asing, itu ditahan pada jam 3.30 petang di sebuah bengkel besi buruk di Bandar Serendah, Hulu Selangor, selain polis turut merampas 21 kenderaan dipercayai dicuri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Mohd Zani Che Din berkata, hasil siasatan mendapati enam daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Kesemua suspek mengaku terlibat dalam 30 kes berkaitan curi kenderaan di kawasan Lembah Klang sejak Ogos tahun ini.

“Mereka, bagaimanapun didapati negatif ujian air kencing yang dilakukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mohd Zani berkata, kumpulan terbabit menyasarkan kereta yang diletakkan di tepi jalan untuk dicuri dan komponen kereta tersebut akan dileraikan untuk dijual kepada pelanggan.

“Kesemua suspek direman sehingga 20 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :