AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1MDB: Jho Low beri isi kandungan surat ‘lindungi’ Najib

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low memberi isi kandungan surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tujuan ‘ melindungi’ Datuk Seri Najib Razak daripada berdepan risiko politik bekas perdana menteri itu.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata antara 2009 dan 2010, beliau menandatangani beberapa surat termasuk surat kepada Najib bagi mengelak daripada memberikan maklumat sulit mengenai 1MDB kepada Jabatan Audit Negara.

Maklumat itu bagi tujuan penelitian terperinci syarikat terbabit dalam proses pengambilalihan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) oleh 1MDB, demikian keterangan oleh Shahrol Azral pada hari ke-21 perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB oleh Najib.

Beberapa daripada surat itu yang dialamatkan kepada Najib dalam kapasiti ketika itu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan pemegang saham tunggal 1MDB selaku ketua Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF) Inc., dikemukakan di mahkamah oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Shahrol Azral, 49, memberitahu beliau menulis surat itu kepada Najib berdasarkan nota maklumat yang diberikan oleh Jho Low dan percaya arahan untuk menyekat pemberian maklumat sulit itu datang daripada Najib.

Saksi pendakwaan kesembilan itu juga mengakui beliau tidak pernah semak dengan Najib sama ada arahan Jho Low itu sebenarnya daripada bekas perdana menteri itu walaupun menyedari ia menghalang usaha Jabatan Audit Negara melakukan penelitian terperinci syarikat itu.

Muhammad Shafee: Apabila dia (Jho Low) mengarahkan anda untuk berbuat demikian, tidakkah anda fikir dia menghalang apa yang sedang dilakukan oleh Jabatan Audit Negara?

Shahrol Azral: Pada masa itu, apabila saya menyalin surat ini, saya merasakan bahawa saya perlu mematuhi apa juga dikehendaki oleh jabatan itu tetapi Jho Low sedang berkomunikasi dengan saya dengan mengatakan bahawa ia adalah bahaya kepada Najib dari segi politik jika Jabatan Audit Negara melakukan penelitian perinci syarikat dan seterusnya menyerahkan kandungan ini kepada saya. Dia tidak menulis deraf surat itu tetapi hanya memberi isi kandungan kepada saya.

Muhammad Shafee: Tetapi, seperti anda katakan, dia menjadi penghalang kepada kerja jabatan itu. Kenapa kamu mematuhi dia?

Shahrol Azral: Kerana saya anggap arahan itu daripada Najib.

Saksi itu juga mengatakan beliau dimaklumkan oleh Jho Low supaya amat berhati-hati dengan kebocoran maklumat dari 1MDB termasuk tiada salinan dibuat daripada dokumen 1MDB.

Muhammad Shafee kemudian bertanya jika kedudukannya sebagai CEO 1MDB membuat dirinya berasa bertanggungjawab untuk bertanya dengan Najib jika memangnya arahannya (Najib) (untuk menghalang Jabatan Audit Negara daripada melakukan penelitian terperinci syarikat).

Shahrol Azral sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai alasan untuk menyemak semula dengan Najib sendiri kerana beliau percaya bekas perdana menteri itu dan ahli perniagaan (Jho Low) sentiasa berhubung.

Didesak oleh peguam itu, saksi itu menafikan bahawa beliau bersekongkol dengan Jho Low untuk menghalang proses pengauditan 1MDB untuk menyembunyikan kewangan yang tidak teratur yang wujud hasil terbitan bon bernilai RM5 bilion yang mana 1MDB hanya menerima hasil berjumlah RM4.3 bilion.

Muhammad Shafee: Sikap anda dalam semua surat ini menunjukkan anda bersekongkol dengan Jho Low…anda sembunyikan keadaan sebenar dalam 1MDB yang akan dibongkar dalam audit. Ini termasuk RM700 juta yang disalur kepada Good Star Ltd., yang didakwa dikawal oleh Low. Saya mengatakan anda tidak boleh mengikut arahan Jho Low secara membuta tuli…anda bersekongkol dengan dia.

Shahrol Azral: Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee: Satu-satunya adakah Jho Low bertindak seiring dengan beberapa kakitangan dalam 1MDB….orang yang berkepentingan bagi memastikan Ketua Audit Negara tidak terbabit dalam pengauditan atau melakukan penelitian terperinci syarikat menjangkaui tempoh Julai 2009.

Shahrol Azral: Saya tiada komen.

Saksi itu juga enggan mengulas cadangan peguam bahawa beliau tidak terlalu naif untuk sentiasa mempercayai Jho Low walaupun sedar tindakannya menjurus kepada situasi berbahaya.

Merujuk kepada satu lagi surat yang ditandatangani oleh Shahrol Azral, yang menyebut untuk mendapatkan lebih banyak dokumen 1MDB untuk diberikan kepada Jabatan Audit Negara, persetujuan mesti diperoleh bukan hanya daripada lembaga pengarah dan lembaga penasihat dana tetapi juga daripada rakan pelaburannya iaitu Mubadala Co dan PetroSaudi Investment Ltd (PSI).

Muhammad Shafee kemudian bertanya kepada saksi kenapa perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak-pihak tersebut.

“Ini kerana maklumat yang diminta adalah mengenai butiran pelaburan dalam perancangan dan pelaburan tersebut adalah dengan rakan-rakan tersebut serta mereka mungkin tidak mahu dokumen tersebut diberikan kepada pihak lain selain 1MDB,” kata Shahrol Azral.

Muhammad Shafee: Jadi anda kini katakan bahawa 1MDB harus diuruskan seperti sebuah entiti sulit ?

Shahrol Azral: Tidak. Saya tidak kata begitu.

Najib, 66, didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Pada 28 September 2018, Ahli Parlimen Pekan itu mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :