AGENDANASIONAL

1MDB saluran strategik bagi Najib

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, 1MDB adalah saluran strategik bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sebagai pekerja, beliau mahu berkhidmat dengan baik.

Shahrol Azral, 49, bagaimanapun, memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau akan terus meletakkan jawatan sekiranya diberi peluang memegang jawatan CEO 1MDB semula.

Dalam pemeriksaan balas peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi kesembilan pihak pendakwaan itu memberi keterangan sekiranya beliau mengetahui pembohongan yang dibuat oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang, beliau secara sukarela akan melepaskan jawatannya itu.

“Pada masa itu, saya tidak mungkin tahu berapa banyak kebenaran yang diberitahu kepada saya oleh Jho Low dan Casey mengenai usaha sama 1MDB-PetroSaudi. Termasuk pengalihan sebanyak AS$700 juta untuk usaha sama itu,” katanya.

Terdahulu, mahkamah mendengar A$700 juta dipindahkan ke akaun Good Star Ltd, syarikat yang pada mulanya dikatakan sebagai anak syarikat PSI tetapi kemudiannya didedahkan sebagai syarikat yang dikuasai Jho Low.

Shahrol Azral berkata, beliau mula menunjukkan keterangan dokumentari atau documentary evidence mengenai pemilikan Jho Low terhadap Good Star apabila dia disiasat pada 2018 oleh pihak berkuasa Malaysia.

Muhammad Shafee kemudiannya merujuk saksi kepada e-mel antara Deutsche Bank dan RBS Coutts, menyatakan walaupun RBS Coutts adalah penerima AS$700 juta, ia tidak dapat mengkreditkan dana itu ke dalam akaun yang bernombor 11116073, melainkan nama penuh pemegang akaun diperoleh.

Shahrol Azral mengakui beliau telah melihat e-mel koresponden sebelum itu dan memandangkan beliau bertindak bagi pihak 1MDB, beliau bertanggungjawab untuk mengetahui siapakah pemegang akaun itu.

“Ia adalah penting. Saya telah membuat salinan dan menghantar e-mel itu ke BlackBerry Messenger (BBM) Jho Low untuk meminta maklumat yang diperlukan oleh RBS Coutts.

“Jho Low adalah yang pertama menjawab, selepas dia menjawab, saya tidak fikir ada pengesahan lain daripada pihak lain,” kata Shahrol Azral.

Mengulas perkara itu, peguam itu berkata, Shahrol Azral hanya mendapatkan maklumat itu daripada Jho Low kerana beliau tahu sensitiviti nama pemegang akaun, dan beliau tahu ia adalah Good Star, yang mana saksi tidak bersetuju.

Shahrol Azral berkata, ini adalah kerana Jho Low adalah penyelaras dan perancang urus niaga dan satu-satunya orang yang akan memaklumkan kepada beliau ketika transaksi berjalan.

Prosiding hari ini merupakan perbicaraan hari ke-28 kes terhadap Najib, 66, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Perbicaraan bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :