AGENDAJENAYAH

20 maklumat rasuah Jabatan Kehakiman diterima tahun ini

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 20 maklumat berhubung rasuah melibatkan Jabatan Kehakiman daripada awal Januari sehingga Ogos tahun ini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, maklumat itu antaranya melibatkan Mahkamah Seksyen ke bawah.

“Saya tidak boleh beri butiran, memang kami terima pelbagai aduan termasuk aduan terhadap hakim dan sebagainya.

“Aduan yang SPRM terima adalah berkenaan rasuah dan salah guna kuasa. Tetapi saya tidak boleh mendedahkan lebih kerana masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Integriti di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Latheefa berkata, kertas siasatan berhubung perkara itu telah dibuka dan pihaknya tidak akan mendedahkannya sehingga ia dimaklumkan secara umum.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai penempatan 75 pegawai SPRM di Unit Integriti Agensi Awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Latheefa berkata, ia sebagai langkah dalam memastikan setiap agensi dan GLC akan lebih peka dan sensitif dalam urusan dijalankan dengan integriti tinggi.

“Langkah berkenaan diambil bagi memastikan sesebuah agensi atau GLC tidak terpalit dalam perbuatan rasuah. Unit Integriti di agensi-agensi kerajaan telah mula diwujudkan sejak 1 Ogos 2013,” katanya.

Turut hadir pada sambutan itu ialah Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

– BERNAMA


Pengarang :