Majlis Penyerahan Jalur Gemilang & sidang media Everest Base Camp Tracking Challenge 2019 di Black Box @ SACC Mall Shah Alam pada 1 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

30 ahli Nadi Sihat bakal tawan Everest Base Camp

SHAH ALAM, 1 OKT: Seramai 30 ahli Pertubuhan Nadi Sihat bakal menyempurnakan `Misi Everest Base Camp Trekking Challenge 2019′, bermula 11 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, misi selama 16 hari itu adalah lanjutan daripada program ‘Zero to Hero’ yang bermula sejak 2015.

Katanya, menariknya misi itu akan disertai dalam kalangan peserta yang awalnya langsung tidak pernah terlibat dalam aktiviti riadah atau pendakian.

“Namun melalui latihan intensif yang diadakan akhirnya mereka berjaya menawan Gunung Kinabalu dan Annapurna Base Camp. Kali ini peserta itu akan menyertai acara kemuncak menawan Everest Base Camp yang berketinggian 5,364 meter dari aras laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sidang Media Everest Base Camp 2019, di SACC Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairudddin Othman dan Presiden Pertubuhan Nadi Sihat, Azlina Abdul Aziz.

Khairuddin Othman bergambar bersama para penaja sempena Majlis Penyerahan Jalur Gemilang & sidang media Everest Base Camp Tracking Challenge 2019 di Black Box @ SACC Mall Shah Alam pada 1 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Mohamed Farid berkata, antara kejayaan yang dicatatkan Pertubuhan Nadi Sihat sebelum ini ialah pengiktirafan Malaysia Book of Record untuk tebaran kain rentang terbesar di puncak Gunung Kinabalu pada 2016.

Manakala, program ‘Road to Annapurna Based Camp 2017’, kumpulan ini telah mendapat pengiktirafan daripada Kinabalu Shell Press Awards 2018.

“Menariknya kami turut disertai pelbagai lapisan masyarakat berusia dari 21 hingga 56 tahun terdiri daripada jurutera, arkitek, usahawan, akauntan, peguam dan juga profesor,” katanya.


Pengarang :