EXCOSELANGOR

30 pangsapuri terpilih sertai program Duplikasi Kitar Strata

SUBANG JAYA, 5 OKT: Sebanyak 30 pangsapuri kos rendah dan sederhana seluruh Selangor terpilih menyertaiprogram Duplikasi Kitar Strata dalam usaha melahirkan komuniti berdaya maju dan berkualiti.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, program itu berperanan menggalakkan penduduk mengumpul barangan kitar semula sekali gus menjana pendapatan.

“Hasil pendapatan daripada program ini walaupun tidak banyak namun ia dapat membantu menampung pembayaran caj penyelenggaraan bulanan di pangsapuri masing-masing.

“Faktor utama menyumbang kepada pelbagai masalah di pangsapuri atau perumahan berstrata adalah berkaitan kutipan caj penyelenggaraan bulanan yang rendah daripada penduduk.

“Justeru, melalui program ini, penduduk boleh ‘kontra’ sebahagian daripada caj penyelenggaraan melalui hasil jualan barangan kitar semula kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menerusi video pada Majlis Pelancaran Buku “HBA Insight Into Strata Management Legislations” di Taylor’s University Lakeside Campus, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, program itu juga secara tidak langsung dapat mendidik penduduk cara-cara pengasingan sampah di rumah selain mengatasi masalah pengurusan sampah yang kurang efektif.

“Sejak dilancarkan Julai lalu, program ini telah berjaya dilaksanakan di Pangsapuri Kenanga dan Gombak Permai,” katanya.

Duplikasi Kitar Strata adalah salah satu program yang mengiktiraf idea serta usaha kreatif dan inovatif sebahagian JMB dan Badan Pengurusan (MC) dalam melaksana projek inovasi bagi tujuan menambah baik dan memudahcara pengurusan dan komuniti pangsapuri.

Projek inovasi yang dilaksana seperti Pusat Kitar Strata dan pembayaran elektronik bukan sahaja berjaya malah meningkatkan kualiti persekitaran kejiranan selain menjana pendapatan lebihan bagi menampung kekurangan kutipan caj.

Berdasarkan rekod, setiap pangsapuri yang dipilih akan menerima geran berjumlah RM4,500 untuk menjayakan program itu di kawasan masing-masing.


Pengarang :