SELANGOR

400 syarikat sertai SIBS 2019, sasar 30,000 pengunjung

SHAH ALAM, 4 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS 2019) yang berlangsung di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 10 hingga 13 Oktober 2019 dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, penganjuran sidang kemuncak anjuran Invest Selangor kali ini lebih besar dengan membabitkan lebih 800 reruai oleh 400 syarikat tempatan dan antarabangsa.

“SIBS 2019 anjuran Invest Selangor dan di bawah naungan Kerajaan Negeri bersiap sedia untuk menjadi ‘pintu masuk ke Asean’ dari 10 Oktober hingga 13 Oktober 2019.

“Sidang kemuncak yang diadakan di atas kawasan seluas 43,000 meter persegi ini turut menganjurkan empat persidangan membabitkan lebih 100 penceramah dari 20 negara termasuk dari Malaysia, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media SIBS 2019 di Pejabat Invest Selangor, i-City di sini, hari ini.

Antara negara yang mengambil bahagian dalam SIBS 2019 kali ini, antaranya Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong, Singapura, Arab Saudi, Korea, Kuwait, Jepun, Qatar, Thailand, China, Vietnam dan Brunei.

Chang Khim berkata, empat persidangan yang bakal berlangsung pada SIBS 2019 adalah edisi kelima Ekspo Antarabangsa Selangor 2019, edisi ketiga Persidangan Perniagaan Selangor-Asean 2019, edisi keempat Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital serta Ekspo Inovasi dan R&D Selangor.

Acara lain turut diadakan pada persidangan kali ini seperti Persidangan Halal Antarabangsa Selangor, Ekspo Antarabangsa Teh dan Kopi Malaysia dan Persidangan Usahawan China Malaysia kesembilan.


Pengarang :