Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

45,000 penerima BSH tiada akaun bank untuk subsidi petrol

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kira-kira 45,000 daripada 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada golongan B40 yang layak menerima bantuan Program Subsidi Petrol (PSP) tidak mempunyai akaun bank bagi membolehkan bantuan tersebut disalurkan.

Justeru itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya akan meminta kerjasama institusi perbankan tempatan bagi membantu penerima untuk membuka akaun bank dengan baki sifar.

“Mereka hanya perlu mempunyai nombor akaun bank sahaja….kalau boleh dapat kerjasama daripada bank adalah lebih baik,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan rancangan Ruang Bicara yang disiarkan oleh Bernama News Channel, di sini, malam tadi.

Beliau berkata ia bagi memudahkan penyaluran bantuan tunai akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan di mana pembayaran pertama akan dibuat pada April 2020 bagi tempoh Januari hingga April 2020.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Okt lepas, berkata bermula Januari 2020, PSP bersasar akan dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan.

Pertama bagi penerima BSH (B40) yang layak, subsidi petrol yang diberikan untuk setiap penerima adalah sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal.

Bagi kategori kedua ialah semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, yang akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

Kenderaan yang layak untuk subsidi itu adalah kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, atau motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun.

Sementara itu, mengulas permohonan bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk menyertai PKR, beliau berkata, Saifuddin Nasution, yang juga setiausaha agung parti itu, veerkata permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu telah dibentangkan kepada Biro Politik PKR yang bermesyuarat minggu lalu.

Saifuddin Nasution, yang juga setiausaha agung parti itu, berkata pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan tersebut.

“​​​​​​​​​​​​​​Ia mengambil masa sedikit untuk menganalisa dan membuat keputusan…itu memang proses biasa dalam permohonan menjadi anggota parti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai tempoh keputusan berkenaan akan dibuat.

Pada awal bulan ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan parti itu menerima permohonan Salleh yang dibuat dalam talian.

Salleh merupakan bekas Ketua Menteri Sabah dari 1994 hingga 1996 sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua Pertua Dewan Undangan Negeri Sabah (2010-2015) serta Menteri Komunikasi dan Multimedia dari 2015 hingga 2018.

Beliau, yang pernah dilantik sebagai Bendahari UMNO dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018 dan tewas kepada sepupunya Isnaraissah Munirah Majilis daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Salleh kemudian meninggalkan UMNO pada 12 Disember 2018.

-BERNAMA​​​​​​​


Pengarang :