Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

50 sekolah Selangor kumpul hampir 200,000kg barang kitar semula

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 2 OKT: Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah 2019 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatatkan jumlah kutipan barang terbuang tertinggi mencecah 190,367.99 kilogram (kg) pada edisi ke-13 tahun ini.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu dengan pengumpulan 175,161.72kg daripada 38 buah sekolah di sekitar bandar raya ini.

Katanya, sebanyak 50 sekolah terlibat dalam kempen pada tahun ini yang terdiri daripada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah yang mengumpul barang terbuang untuk dikitar semula.

“Kempen selama tujuh bulan itu berlangsung dari 1 Mac hingga 30 September lalu dengan menawarkan wang tunai berjumlah RM28,700,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Penutup Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah MBSA 2019 di Dewan Bankuet MBSA, di sini, hari ini.

Kempen yang telah berlangsung 13 tahun itu ditaja syarikat Fraser & Neave Holding Berhad.

Pada tahun ini, bagi kategori prasekolah tempat pertama dimenangi Tadika Montessori Safinatun Najah (RM500), tempat kedua Tadika Fantasi U13 Setia Alam (RM400) dan tempat ketiga Pra SK Seksyen 20 (RM300).

Bagi kategori sekolah rendah, pemenang tempat pertama SJK (T) Hicom (RM2,000), tempat kedua SJK (T) Ladang Ebor (RM1,700) serta tempat ketiga SK TTDI Jaya (RM1,500).

Hadiah bagi pemenang tempat pertama bagi kategori sekolah menengah dirangkul SMK Seksyen 19 (RM2,000), tempat kedua SMK Seksyen 16 (RM1,700) dan tempat ketiga SMK Alam Megah (RM1,500).

Kempen kitar semula itu turut disokong oleh Jabatan Pendidikan Selangor, Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Tetra Pak Malaysia.


Pengarang :