Lim Guan Eng pada sidang media di Parlimen pada 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

500 bas elektrik pelbagai saiz perluas pengangkutan awam

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan berhasrat menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta untuk pengangkutan awam di bandar terpilih seluruh negara.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ berkata usaha itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk menambah baik pengangkutan awam serta mewujudkan bandar bersih dan hijau.

Dalam pada itu beliau berkata pas bulanan tanpa had My50 dan My100 untuk semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL yang dilancarkan pada awal tahun ini memanfaat lebih 120,000 pengguna pengangkutan awam.

“Kerajaan juga melancarkan Pas Mutiara di Pulau Pinang yang menyediakan perjalanan tanpa had selama sebulan dengan harga RM50 bagi perkhidmatan Rapid Bus dan Rapid Ferry,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu bagi kemudahan penduduk luar bandar pula, beliau berkata kerajaan akan terus menyokong sambungan ‘last-mile’ di kawasan luar bandar dan bandar dengan memberi subsidi kepada pengusaha bas dengan peruntukan sebanyak RM146 juta pada tahun 2020.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi menaik taraf landasan kereta api di kawasan Gorge Line antara Stesen Halogilat ke Stesen Tenom di Sabah.

“Ini akan meningkatkan keselamatan perjalanan penduduk tempatan di samping menjadi tarikan pelancong,” katanya.

Guan Eng berkata bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua, kerajaan akan melabur sebanyak RM85 juta bermula tahun 2020 untuk melancarkan aliran trafik kenderaan khususnya yang melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Katanya, melalui peruntukan tersebut, 50 kaunter tambahan akan dibuka untuk penunggang motosikal serta kaunter imigresen dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) juga akan ditambah baik.

“Sebagai sebahagian daripada langkah jangka panjang untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas, Kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek Sistem Rapid Transit (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura,” katanya.

Sementara itu bagi mengurangkan beban tol lebuh raya, Guan Eng berkata jemaah menteri sedang menimbangkan kesemua cadangan, termasuk daripada Khazanah Nasional Berhad, untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS Malaysia Berhad.

Katanya, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan, rakyat boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS dan cadangan yang diterima hendaklah memberi impak positif fiskal dan tidak meningkatkan beban hutang dan bayaran khidmat hutang kerajaan.

“Diskaun tol sebanyak 18 peratus ini akan memberikan penjimatan kepada pengguna lebuh raya tersebut sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020, dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :