Rodziah bergambar bersama salah seorang penerima baucar Jom Shopping Deepavali di Giant Bukit Kemuning, baru-baru ini. Foto ihsan pejabat EXCO
EXCOSELANGOR

515 kaum India terima baucar Jom Shopping Deepavali

SHAH ALAM, 9 OKT: Seramai 515 kaum India dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima baucar Jom Shopping Deepavali yang bakal disambut pada 27 Oktober ini.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, program itu kali ini memfokuskan penerima berusia bawah 60 tahun.

Katanya, bagi penerima 60 tahun dan ke atas, mereka akan menerima baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

“Tahun ini, terdapat penambahan penerima bagi DUN Batu Tiga berbanding tahun lalu seramai 350 orang, selaras peratusan penambahan pengundi kaum India di sini,” katanya pada penyerahan baucar itu di Giant Bukit kemuning, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga itu berkata, baucar RM100 yang diberikan untuk ketiga-tiga perayaan di negeri ini adalah salah satu produk Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi membantu meringankan beban dan membuat persiapan perayaan.

“Kegembiraan penerima dapat dilihat dari riak wajah, lebih-lebih lagi penerima bukan sahaja datang bersendirian tetapi membawa keluarga bersama-sama membeli barangan keperluan.

“Ini yang kita mahu lihat. Ia bukti bahawa Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan,” katanya.


Pengarang :