AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

5G dan vape jadi tumpuan di Parlimen hari ini

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kesediaan kerajaan dalam pelaksanaan teknologi jalur lebar 5G dan sama ada wujud perancangan bagi menghalang penjualan vape, bakal diketahui pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dalam aturan mesyuarat dikeluarkan laman sesawang Parlimen, perkara berkaitan 5G dibangkitkan pada soalan pertama sewaktu sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan oleh Teh Kok Lim (PAKATAN-Taiping), yang diajukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Turut dijangka mencuri perhatian adalah soalan dari Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) yang meminta pendirian Kementerian Kesihatan, untuk menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik dan “vape” secara menyeluruh, ataupun membendung jualan bahan berkenaan terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah, memandangkan bahaya bahan itu daripada aspek kesihatan.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (PAKATAN-Jerlun) yang meminta penjelasan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai negeri- negeri yang di luar “laluan pelancongan”, sama ada akan mendapat manfaat daripada Tahun Melawat Malaysia 2020.

Usai sesi berkenaan, Dewan Rakyat akan menyambung pula sesi perbahasan bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang berkisar kepada Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember.

-BERNAMA


Pengarang :