AGENDANASIONAL

6,000 penjawat awam Kedah bakal dapat bayaran khas RM750

ALOR SETAR, 20 OKT: Kerajaan Kedah hari ini mencadangkan bayaran khas sebanyak RM750 diberikan kepada semua pegawai, kakitangan dan anggota pentadbiran negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ketika membentangkan Belanjawan 2020 negeri di Wisma Darul Aman di sini berkata, pembayaran berkenaan akan dibuat pada Disember ini.

“Bayaran khas ini sebagai menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam negeri yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah dan dedikasi,” katanya.

Beliau berkata, lebih 6,000 penjawat awam lantikan tetap dan kontrak akan menerima manfaat daripada bayaran khas tersebut dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Sementara itu, Mukhriz berkata, seiring dengan perkembangan ekonomi digital dan perkembangan telekomunikasi yang pesat, kerajaan negeri akan meningkatkan kualiti sistem penyampaian dan tadbir urusnya.

Beliau berkata, antara agenda kerajaan negeri adalah untuk memperkemaskan jentera pengurusan dan pemantauan kutipan hasil negeri.

“Semua pihak juga diminta mengambil langkah dalam mengurangkan kos operasi antaranya melalui amalan mendigitalkan perkhidmatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :