Amirudin Shari ketika ditemui media sempena Konvensyen Transformasi Pengurusan Hal Ehwal JAIS di Dewan Muzakarah, Masjid Negeri pada 1 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

65 peratus penerima rebat sedia ada kekal nikmati Skim Air Darul Ehsan

SHAH ALAM, 1 OKT: 65 peratus penerima manfaat air percuma sedia ada dijangka layak menikmati subsidi itu menerusi usaha penjajaran semula program yang dijenamakan Skim Air Darul Ehsan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dapatan jangkaan pengguna itu diperoleh hasil kajian Kerajaan Negeri terhadap rakyat Selangor sebelum ini.

“Penerima berpendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah adalah formula terbaik walaupun pada asalnya kita mahu memberikan 25 meter padu air percuma kepada keluarga berpendapatan RM2,500.

“Tetapi kita naikkan kepada RM4,000 ke bawah kerana golongan B40 Selangor ialah RM6,000 dan ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Konvensyen Tranformasi Pengurusan Hal Ehwal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah, Masjid Negeri di sini, hari ini.

Amirudin Shari bersama peserta ketika Konvensyen Transformasi Pengurusan Hal Ehwal JAIS di Dewan Muzakarah, Masjid Negeri pada 1 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata, usaha penjajaran semula adalah bagi memastikan penerima yang benar-benar layak menikmati manfaat program berkenaan.

“Kita tidak mahu beri kepada yang memiliki kolam renang atau berpendapatan tinggi, bagi saya rebat RM11.40 itu tidak membantu kehidupan mereka,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, isi rumah yang berpendapatan melebihi RM4,000 serta memiliki tanggungan ramai boleh menghantar permohonan dan butir terperinci.

Katanya, penyewa kediaman yang layak juga boleh mendaftarkan akaun secara terus bagi memastikan mereka layak menerimanya.

“Mereka yang mempunyai tanggungan ramai juga boleh memohon. Kita akan membuat penilaian melalui butir terperinci yang mereka perlu nyatakan bersama borang permohonan.

“Malah, penyewa kediaman boleh daftarkan akaun secara terus kerana kita akan memberikan rebat itu kepada mereka,” katanya.

Ketika ini, seramai 1.6 juta pemegang akaun yang sedang menikmati Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu akan terus menikmati rebat RM11.40 sehingga 29 Februari 2020.

Manakala bagi yang layak boleh meneruskan rebat itu melalui pendaftaran yang dibuka permohonananya hingga 31 Disember ini.

Pengguna boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui laman sesawang Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat di www.ssipr.selangor.gov.my


Pengarang :