Amirudin Shari menyerahkan cek kepada wakil sekolah pada Majlis Agihan Cek Bantuan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 3 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDANASIONAL

665 sekolah terima bantuan naik taraf RM19.2 juta

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 3 OKT: Sejumlah RM19.2 juta diagihkan kepada 665 sekolah di seluruh negeri untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan diperlukan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bantuan fasa pertama itu berdasarkan keperluan sekolah dengan mengambil kira jumlah pelajar dan keadaan terkini sekolah.

“Bantuan ini diharap dapat digunakan sebaiknya dan menjadi permulaan kepada hubungan serta erat di antara pihak sekolah dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra Bersama Penerima Bantuan Sekolah di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini.

Pada majlis itu, sebanyak 135 sekolah menerima bantuan itu membabitkan 105 sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah menengah jenis kebangsaan (5), sekolah mubaligh (21) dan sekolah menengah persendirian cina (4).

Hadir sama, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Selangor menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat di negeri ini melalui Insentif Peduli Rakyat (IPR), antaranya Skim Bantuan Tadika (TUNAS).

“Skim itu adalah subsidi yuran RM50 sebulan kepada keluarga berpendapatan isi rumah RM1,500 ke bawah yang akan diberikan apabila anak mereka masuk ke tadika,” katanya.


Pengarang :