Mohd Sayuthi Bakar menyampaikan anugerah tandas bersih kepada SMK (P) Sri Aman pada 22 Oktober 2019. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

88 kedai makan, tandas bawah MBPJ diiktiraf bersih

PETALING JAYA, 24 OKT: Kira-kira 88 pemilik premis di sini menerima pengiktirafan Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih 2019 daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Datuk Bandarnya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, penganjuran anugerah itu diadakan sebagai insentif atas usaha yang dilakukan oleh pengusaha premis makanan dan penjagaan tandas awam.

Katanya, ia sebagai perangsang kepada setiap pengusaha lain meningkatkan tahap kebersihan di premis masing-masing.

“Dalam pada itu, penganjuran anugerah ini dapat meningkatkan jumlah premis makanan dan tandas bersih di kawasan pentadbiran MBPJ.

“Matlamat utama penganjuran anugerah ini adalah bertujuan untuk mengiktiraf premis makanan dan tandas bersih yang mencapai kriteria markah ‘A’ seperti yang ditetapkan oleh MBPJ,” katanya.

Sayuthi berkata, tahun ini, sebanyak 70 premis makanan daripada 1,098 premis terpilih sebagai premis makanan bersih manakala jumlah tandas awam yang terpilih adalah sebanyak 18 daripada 800 tandas awam.

“Dengan adanya program seperti ini, risiko kejadian kes keracunan makanan dan penyakit bawaan makanan dan minuman dapat dikurangkan.

“Laporan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga Mei 2019, kes keracunan makanan menunjukkan peningkatan sebanyak 23.69 peratus iaitu 401 kes kepada 496 berbanding tempoh sama pada tahun 2018.

“Perkara ini harus diberi perhatian yang serius oleh semua pihak yang terlibat termasuk pihak berkuasa berkaitan, pentadbir sekolah, pemilik premis makanan, katering, pengendali makanan, dan orang awam digesa supaya mengambil langkah sepatutnya bagi mengelakkan kes keracunan makanan ini daripada terus menjadi ancaman kepada kesihatan masyarakat,” katanya.

Anugerah premis makanan dan tandas bersih terbahagi kepada beberapa kategori seperti kategori premis makanan kategori tandas, kategori restoran berhawa dingin, kategori restoran tidak berhawa dingin dan restoran 24 jam.

“Selain itu, kategori tandas Sekolah Menengah, Sekolah Rendah, Stesen Pengangkutan Awam dan Stesen Minyak,” katanya.

Sayuthi berkata, pemilihan pemenang dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ melalui penilaian dan pemantauan berterusan menggunakan borang penilaian yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Saya berharap dengan penganjuran ini semua premis makanan dan juga tandas awam di Petaling Jaya akan sentiasa berdaya saing dan berusaha menjadikan premis masing-masing menjadi bersih,” katanya.

Antara pemenang bagi kategori premis bersih seperti Nasi Kandar Original Penang, Nasi Kandar Nur Alif dan Nasi Ayam Alif.

Manakala, bagi kategori tandas bersih ialah Tandas Awam SS2, Taman Jaya dan Astaka serta Sekolah Menengah (P) Sri Aman.


Pengarang :