ADNSELANGOR

ADN Dusun Tua fail saman fitnah terhadap Mokhtar Senik

SHAH ALAM, 13 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mokhtar Senik susulan status yang dimuat naik di Facebook ‘Mokhtar Dup’ pada 28 Ogos lalu.

Kiriman berkenaan dipercayai mengandungi poster yang menggunakan gambar Edry tanpa kebenaran dengan butiran kononnya Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu mendakwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah kisah dongeng.

Edry menerusi kenyataan media berkata, tuntutan writ saman dibuat bagi menegakkan hak dan membersihkan nama baik beliau selaku wakil rakyat yang sudah dijejaskan Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang itu.

“Peguam-peguam saya pada 9 Oktober memfailkan tuntutan saya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Mokhtar Senik atas kausa tindakan fitnah (defamation) dan kepalsuan niat jahat (malicious falsehood) berkenaan dengan status Facebook tersebut.

“Di dalam pernyataan tuntutan saya, saya memohon relief antara lain, gantirugi am, gantirugi teruk dan gantirugi teladan, permintaan maaf dan injunksi untuk menghalang Mokhtar Senik daripada menerbitkan kata-kata yang memfitnah saya lagi,” katanya.

Edry berkata, beliau sebelum ini sudah mengarahkan peguam mengeluarkan surat tuntutan kepada Mokhtar Senik menuntut supaya menarik balik status berkenaan dan membuat permohonan maaf.

Bagaimanapun katanya, Mokhtar membalas surat tuntutan peguam dengan mengatakan bahawa itu hanya ‘bahasa kesat atau caci maki’ sahaja, tanpa membuat apa-apa permohonan maaf.

“Saya rasa amat kecewa kerana sebagai seorang pemimpin sebuah parti yang mengakui paling Islam, Mokhtar Senik gagal melakukan tabayyun atau soal selidik yang diajarkan al-Quran atau hadis Nabi bahawa jika tiada perkara baik yang boleh diucapkan, lebih baik diam.

“Semoga tindakan ini menjadi pengajaran kepada kita semua supaya berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataaan yang tidak pasti,” katanya.

Sebelum ini, pada 28 Ogos lalu, Facebook ‘Mokhtar Dup’ memuat naik poster yang menggambarkan Edry menyifatkan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai ‘kisah dongeng’.

Pada kiriman itu turut disertakan keterangan yang mendakwa Edry sebagai seorang yang ‘tidak tahu sejarah bangsa sendiri’.

“Orang cakap minum segelas je air ketum tu sekadar untuk buat ubat. Yang hang pi teguk sampai dua tempayan siapa suruh? Mulalah tak kenal sejarah bangsa sendiri,” kata keterangan Facebook itu.


Pengarang :