Dr Fahmi Ngah ketika ditemu bual wartawan Media Selangor di Plaza Perangsang, Shah Alam pada 16 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

Agenda Smart Selangor capai matlamat membanggakan

SHAH ALAM, 16 OKT: Agenda pembangunan Smart Selangor yang direalisasikan oleh negeri ‘Gedung Ekonomi’ ini sejak tahun 2016 menunjukkan bibit kejayaan membanggakan.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, kejayaan itu dibuktikan dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dengan cemerlang sehingga tahun ini.

Katanya, salah satunya direalisasikan menerusi proses pelaporan dan penurapan jalan berlubang menggunakan aplikasi Waze yang menunjukkan kecekapan penurapan sebanyak 95 peratus.

“Proses pelaporan dan penurapan jalan berlubang turut menunjukkan peningkatan kecekapan operasi pada kadar 95 peratus secara purata oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Statistik menunjukkan PBT dan JKR berjaya menyelesaikan 22,897 jalan berlubang diturap daripada 24,144 aduan yang disahkan sejak Julai 2017 hingga September 2019,” katanya kepada Media Selangor, di sini, hari.

Selain itu, aplikasi Sistem Pengangkutan Pintar Selangor (SITS) yang memaklumkan waktu ketibaan Bas Smart negeri di setiap perhentian sudah diguna pakai oleh sekurang-kurangnya 150,000 pengguna sejak diperkenalkan tahun lalu.

Manakala, dua perhentian bas (Smart Selangor Bus Stop) yang dilancarkan pada April tahun ini oleh Majlis Bandaraya Shah Alam mencatatkan 600 hingga 1,000 pengunjung sehari.

“Awal tahun hadapan, SSDU akan menambah 10 lagi perhentian bas di PBT lain,” katanya.

Sistem pembayaran parkir dan kompaun parkir dalam talian iaitu Smart Selangor Parking yang menyatukan tujuh PBT diperkenalkan sejak 1 Jun 2018 hingga 22 Julai 2019 turut mencatatkan sejumlah 334,000 pengguna.

“Kesemuanya ini adalah asas-asas penting yang harus dibangunkan untuk memastikan pertambahan produktiviti rakyat dan juga ke arah kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.

Antara lain, SSDU turut berjaya mencapai kecemerlangan menerusi program masyarakat tanpa tunai (Smart Cashless Society) dengan membina infrastruktur alternatif pembayaran tanpa tunai untuk menggalakkan rakyat Selangor berbelanja tanpa tunai.

Sejak dilancarkan 21 Ogos tahun ini, seramai 3,000 peniaga kecil di bazar ramadan menggunakan aplikasi berkenaan.


Pengarang :