AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agensi Nuklear kaji kesan teknologi 5G pada manusia

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Agensi Nuklear Malaysia akan menjalankan kajian menyeluruh dan penilaian keselamatan terhadap kesan dan manfaat teknologi 5G pada orang awam.

Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Abd Wahab Yusof berkata, kajian yang akan bermula akhir tahun ini akan dilaksanakan bersama beberapa pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami sudah mendapatkan beberapa peralatan baharu untuk menjalankan kajian ini untuk mengukur serta melaksanakan penilaian keselamatan aras radiasi dan sebaginya.

”Sebagai institut penyelidikan awam, kami akan jalankan kajian 5G di Malaysia kerana setakat ini kita hanya menyebarkan maklumat manfaat dan kesan 5G kepada rakyat berdasarkan kajian di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sinaran Tidak Mengion (ICNIR) 2019 “5G Transforming Our Future” kali ke-9 di Hotel Istana, hari ini.

Persidangan dua hari itu bermula hari ini menampilkan lebih 100 penyelidik, ahli akademik dan pemain industri dari dalam dan luar negara, bertujuan memberi pendedahan mengenai aspek sinaran tidak mengion (NIR) yang digunakan di pelbagai industri termasuk perubatan, telekomunikasi dan peralatan elektronik.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Agensi Nuklear Malaysia Roha Tukimin berkata, menara pemancar telekomunikasi dijangka bertambah dan semakin hampir dengan kawasan orang awam selepas 5G dilancarkan.

Jelasnya, penambahan itu disebabkan keperluan frekuensi teknologi 5G yang semakin tinggi dan meluas termasuk bagi tujuan teknologi robotik dan bandar pintar.

Bagaimanapun, katanya, pengguna tidak perlu gusar kerana teknologi 5G menggunakan frekuensi radio yang tergolong dalam kategori NIR dan tidak memberi kesan kepada kesihatan manusia.

Malah, katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menetapkan aras maksimum frekuensi itu tidak melebihi 1,000 micro watt bagi satu meter persegi.

– BERNAMA


Pengarang :