AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agensi terlibat bersedia berdepan banjir

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Agensi yang terlibat dengan bencana banjir sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi itu sekiranya ia berlaku ketika perubahan angin monsun yang dijangka berterusan hingga awal November nanti.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Zakaria Shaaban berkata, pihaknya akan memastikan semua agensi Persekutuan berkaitan pengurusan bencana bersiap sedia semasa Monsun Timur Laut (MTL).

“Nadma telah dan akan terus mengadakan siri latihan kepada komuniti melibatkan program Community Based Disaster Management (CBDM). Penganjuran Program Kesiapsiagaan Nasional akan dilancarkan pada bulan Oktober (program tahunan) bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran kesiapsiagaan semua pihak terutamanya masyarakat.

“Pemulihan dan penambahbaikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu 5,482 PPS yang boleh menampung lebih 1.6 juta mangsa adalah antara persiapan dari aspek kebajikan kepada mangsa yang akan berpindah,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, bagi memastikan pengurusan banjir diselaras dengan berkesan dan lancar.

Dalam pada itu, Zakaria menjelaskan, bagi memperkukuhkan pengurusan bencana negara, Nadma turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan urusan bantuan di lokasi bencana diselaras.

“Nadma juga akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan inisiatif baharu dalam meningkatkan sistem amaran banjir menerusi penyampaian khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada komuniti yang berisiko tinggi berdepan banjir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab berkata, pihaknya sudah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan ketika fenomena perubahan angin monsun.

“Yang pertama sekali, mesyuarat di peringkat pertahanan awam (APM) dalaman mereka dah mula, lepas tu di peringkat negeri dan daerah, sebab kita adalah sekretariat pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.

“Jadi, yang ini (hasil mesyuarat) mereka akan maklumkan kepada DO (pegawai daerah) dan SS (setiausaha kerajaan negeri) untuk menggerakkan jentera dan bersedialah… agensi uruskan bencana ni akan bersama-sama dengan kita,” katanya.

Pada 22 September lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Amer Yusof memaklumkan seramai 14,000 anggota JBPM akan diletakkan di seluruh negara sebagai persediaan untuk menghadapi banjir termasuk di luar jangka.

Menurutnya, JBPM sudah mempunyai jawatankuasa khas berhubung fenomena perubahan angin monsun yang turut membabitkan peringkat kebangsaan, negeri dan daerah di seluruh negara.

Pada masa sama, Amer berkata, jika berlaku banjir besar di sesebuah negeri pihaknya akan mengarahkan negeri berjiran membantu termasuk dari segi logistik dan anggota.

MET Malaysia pada 21 September lepas mengeluarkan kenyataan antara lain perubahan angin monsun dijangka bermula 24 September sehingga awal November depan yang boleh mengakibatkan angin kencang, hujan lebat yang berpotensi berlaku banjir di negeri Pantai Barat Semenanjung, Pantai Barat Sabah serta Barat dan Tengah, Sarawak.

– BERNAMA


Pengarang :