AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong, Permaisuri berangkat pulang ke ibu negara

TOKYO, 24 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat pulang ke ibu negara hari ini, selepas berada di sini sejak Isnin, bagi menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja Naruhito yang berlangsung pada Selasa lalu.

Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat meninggalkan hotel penginapan di sini pada 9.45 pagi waktu tempatan (kira-kira 10.45 pagi waktu Malaysia) untuk menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di sini.

Turut mengiringi Seri Paduka berdua ke lapangan terbang ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Kennedy Jawan dan isteri Datin Josepine Anak Dagang serta Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di sini Mohd Ishrin Mohd Ishak.

Lawatan sulung Seri Paduka berdua ke sini selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah atas jemputan kerajaan Jepun, bagi menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja Naruhito selaku Maharaja ke-126 negara matahari terbit itu, yang berlangsung di Istana Imperial di sini.

Upacara pertabalan Maharaja Jepun kali terakhir diadakan pada 12 November 1990, iaitu bagi Maharaja Akihito, 85, yang dimasyhurkan pada Januari 1989.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lalu, bagi menggantikan ayahanda baginda yang melepaskan takhta atas faktor kesihatan, sekali gus menjadi Maharaja pertama berbuat demikian dalam era pemerintahan negara itu.

Pemasyhuran itu menandakan bermulanya era baru Jepun, iaitu ‘Reiwa’ yang bermaksud harmoni dan tertib, yang mengakhiri era ‘Heisei’ bererti mencapai keamanan di bawah pemerintahan Maharaja Akihito.

-BERNAMA


Pengarang :