Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kiri) berkenan menandatangani plat sempena merasmikan Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis Fasa (1) pada 4 Oktober 2019, yang turut dihadiri Khalid Abdul Samad (kiri) dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (dua dari kanan). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong: Program agama, kemasyarakatan di masjid pupuk perpaduan

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar program keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dijadikan sebagai kaedah untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Seri Paduka bertitah, perkara itu penting dan sejajar dengan tuntutan Islam yang menitikberatkan perihal menjaga perpaduan dalam masyarakat.

“Saya yakin dengan penganjuran program keagamaan dan kemasyarakatan di masjid selain solat berjemaah adalah salah satu kaedah untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam.

“Sesungguhnya, perpaduan umat Islam adalah penting dan perlu dipelihara kerana ia sebahagian daripada tuntutan agama,” titah Seri Paduka pada majlis perasmian Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis Fasa 1, di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah, agar jemaah dan penduduk sekitar memanfaat serta mengimarahkan masjid baharu berkenaan.

“Saya berharap masjid yang tersergam indah ini dapat dimanfaatkan oleh jemaah dan masyarakat setempat untuk diimarah dan dimakmurkan sebaik-baiknya,” titah Seri Paduka.

Terdahulu, ketibaan Seri Paduka pada kira-kira 12.15 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan memasyhurkan masjid itu dengan menurunkan tandatangan tuanku pada plak perasmian, sebelum mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Ketua Imam masjid berkenaan, Ahmad Fathi Muhammad.

Ahmad Fathi dalam khutbah bertajuk ‘Masjid Asas Kesejahteraan Ummah’ mengingatkan jemaah tentang kepentingan mengimarahkan masjid dengan mempraktikkan konsep ‘masjid Rahmah’ yang bersifat ramah, aman, harmoni, mesra alam sekitar dan penyubur sikap saling menghormati sesama masyarakat.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah dan mengurniakan sumbangan kepada kanak-kanak.

Masjid dua tingkat yang dibina bagi menggantikan Surau An-Nur itu siap sepenuhnya pada 4 Mei 2017 dan mampu menampung kira-kira 2,500 jemaah.

Pembinaan masjid itu dengan kos berjumlah RM13.6 juta turut menempatkan sebuah bangunan empat tingkat yang dijadikan sebagai kuarters imam dan bilal serta tempat pengajaran Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).

– BERNAMA


Pengarang :