Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga, kiri) dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyaksikan persembahan tarian pada Majlis Santapan Malam sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-255 di Istana Negara, malam ini. Turut berangkat Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 30 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong, Raja-Raja Melayu berangkat ke Majlis Santapan

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-255 di Istana Negara, malam tadi.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada 8.40 malam bersama Raja-raja Melayu diiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta suami Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Raja-raja Melayu yang berangkat hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir; Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak Sultan Nazrin Shah; Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pahang diwakili Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Shah Sultan Ahmad Shah.

Majlis santapan itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Kira-kira 500 tetamu jemputan, yang terdiri daripada Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet serta pemimpin-pemimpin negeri dan jabatan kerajaan, menghadiri majlis berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :