Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) berkenan menerima pingat Darjah Kerabat Baginda Tuanku Syed Putra Jamalullail (DK) daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail pada Istiadat Persembahan DK Baginda Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Negara hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong terima anugerah Raja Perlis

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Darjah Kerabat Baginda Tuanku Syed Putra Jamalullail (DK), di Istana Negara, hari ini.

Pengurniaan darjah kebesaran itu adalah bersempena Ulang Tahun ke-76 Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, pada 12 Oktober lepas.

Darjah kebesaran itu dikurniakan oleh Tuanku Syed Sirajuddin dalam istiadat persembahan kepada Sultan Abdullah, di sini.

Terdahulu, keberangkatan tiba Tuanku Syed Sirajaddin dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid pada jam 11.45 pagi disambut Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selepas istiadat berkenaan, Seri Paduka berdua turut berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari bersama-sama pasangan Diraja Perlis itu.

Pada 12 Oktober lepas, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengisytiharkan penganugerahan itu dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat negeri yang berlangsung di Istana Arau, Perlis.

Dalam istiadat itu, Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Abu Bakar Katar mendahului senarai 19 penerima, dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

– BERNAMA


Pengarang :