Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong titah atasi masalah peluang kerja terhad lepasan IPT

PUTRAJAYA, 12 OKT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya kerajaan memberi perhatian kepada masalah peluang pekerjaan yang terhad kepada lepasan institusi pengajian tinggi.

Dalam titah diraja pada majlis konvokesyen ke-16 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini baginda yang juga Canselor UniKL bertitah di samping pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menjana ekonomi negara masalah peluang pekerjaan yang terhad kepada lepasan institusi pengajian tinggi masih menjadi agenda yang wajar diberikan perhatian.

Titah Al-Sultan Abdullah, perkara berkenaan jika tidak dibendung akan mengakibatkan kerugian kepada negara dan membazirkan pelaburan kerajaan dalam pendidikan tinggi.

“Saya berpandangan negara hendaklah mewujudkan sektor ekonomi yang membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Selain itu, tindakan positif juga wajar diambil bagi mengurangkan jumlah pekerja asing yang kurang mahir terutamanya dalam sektor perkhidmatan,” titah baginda lagi.

Baginda percaya melalui pendekatan tersebut negara akan dapat mewujudkan semula peluang pekerjaan kepada lepasan institusi pengajian tinggi.

Menyentuh mengenai Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat, baginda menasihatkan graduan untuk merebut peluang menerusi pelbagai insentif yang diumumkan seperti insentif graduan, insentif untuk ibu kembali bekerja dan insentif kepada majikan yang mengambil pekerja tempatan.

“Sebagai yang lebih tua saya menasihatkan anak-anak bakal graduan supaya jangan terlalu memilih pekerjaan.

“Jangan terlalu memilih atau anda akan ketinggalan. Sikap memilih akan menyebabkan seseorang hilang peluang menimba ilmu dan saraan hidup serta menyebabkan masa dihabiskan untuk memilih (pekerjaan) dan melepak,” titah Al-Sultan Abdullah lagi.

Baginda berharap graduan UniKL membuang stigma malas dalam diri dan menanamkan sifat dahagakan kerja dan dahagakan pengalaman.

Seramai 6,083 graduan UniKL menerima ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil masing-masing pada majlis konvokesyen UnikL kali ini.

Pada majlis konvokesyen hari ini baginda turut menyampaikan ijazah doktor kehormat pengurusan kepada mantan Perdana Menteri Perancis Jean-Marc Ayrault.

Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda mengucapkan terima kasih kepada Ayrault kerana menerima penganugerahan yang menandakan pengiktirafan tertinggi dari UniKL.

Penganugerahan itu adalah atas penting Ayrault dan sumbangan yang cemerlang dalam mewujudkan hubungan antarabangsa yang kuat antara Perancis dan ASEAN.

Ayrault dalam ucapan penerimaannya yang menggunakan sedikit bahasa Malaysia berkata: “Ribuan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan UniKL di atas ijazah doktor kehormat ini.”

“Ini adalah simbol hubungan baik antara Perancis dan Malaysia dan UniKL adalah jambatan yang indah antara Malaysia dan Perancis,” katanya lagi.

-BERNAMA


Pengarang :