AGENSISELANGOR

Air berbau: 22 daripada 33 kawasan pulih sehingga jam 6 petang

SHAH ALAM, 5 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan setakat jam 6 petang tadi, sejumlah 22 daripada 33 kawasan yang mengalami gangguan air berbau sejak 28 September lalu kini pulih sepenuhnya.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, kawasan yang masih mengalami aduan air berbau ialah di sekitar Puchong Prima, Seri Kembangan dan Saujana Puchong.

Katanya, kawasan lain Seksyen 3 di Bangi, Bukit Puchong, Bukit Puchong II, Kota Warisan, Salak Tinggi, Taman Mawar BB Salak Tinggi dan Saujana Putra.

Menurutnya, pemantauan, pemeriksaan dan aktiviti pencucian kolam serta sistem agihan air masih diteruskan bagi memastikan semua kawasan yang terkesan pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga jam 6 petang tadi, Air Selangor turut menerima sebanyak 71 lagi aduan baharu mengenai masalah air berbau.

“Tindakan sedang diambil bagi proses ujian pensampelan serta pencucian sistem perpaipan di kawasan juga premis aduan.

“Pelanggan di kawasan yang menjalani proses pencucian paip dinasihatkan menghubungi kami sekiranya masih mengalami bekalan air berbau.

“Pihak kami akan terus memberikan makluman dan status terkini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019-2800919/019-2816793 untuk bantuan atau mendapat maklumat lanjut.


Pengarang :