AGENSISELANGOR

Air berbau: Hanya enam kawasan masih terjejas

SHAH ALAM, 6 OKT: Sebanyak 27 daripada 33 kawasan yang terjejas berikutan masalah bekalan air berbau menunjukkan pemulihan sehingga jam 6 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, aktiviti pemeriksaan dan pencucian kolam serta sistem agihan itu masih diteruskan bagi memastikan semua kawasan terkesan dengan kes berkenaan pulih sepenuhnya.

“Sebanyak 37 aduan baharu air berbau diterima sehingga jam 6 petang tadi dan kami terus melakukan aktiviti pemeriksaan serta pencucian ke atas kolam-kolam perkhidmatan, selain pencucian sistem perpaipan di kawasan aduan.

“Sehingga kini, kami sudah membuat pemeriksaan dan pencucian ke atas 160 kolam-kolam perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.

Sebanyak enam kawasan yang masih terjejas adalah di Puchong Prima, Petaling; Seri Kembangan, Petaling; Saujana Puchong, Petaling; Seksyen 3, Bangi, Hulu Langat; Salak Tinggi, Sepang dan Saujana Putra, Kuala Langat.

Abdul Raof berkata, pihaknya akan terus memberi makluman termasuk status terkini dari semasa ke semasa dan pelanggan boleh menghubungi talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019-2800919/019-2816793 sekiranya masih lagi mengalami bekalan air berbau.


Pengarang :